Ada apa dengan ‘OMICRON’ ? Varian Terbaharu COVID-19
Pada 26 November 2021 lalu, World Health Organization (WHO) telah mengenalpasti jangkitan varian Covid-19
baharu (B.1.1.529) atau lebih dikenali sebagai Omicron.
Menurut Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, strain baharu ini mempunyai lebih 30 mutasi, dua kali ganda lebih banyak
daripada varian Delta.
“Jumlah spike protein yang banyak dalam varian Omicron (32 mutasi) menjadikan ia sukar dikesan serta menyebabkan kemungkinan Omicron mudah merebak berbanding virus Delta. Namun, virus masih tidak diketahui dan setakat ini dikatakan menyebabkan gejala ringan ke sederhana di Afrika Selatan.” kata beliau dalam wawancara bersama Sinar Premium 1 Disember 2021.
Sehingga 1 Disember 2021, bilangan negara yang melaporkan kes VOC Omicron terus meningkat di peringkat global. Sehingga kini, 352 kes dilaporkan oleh 27 negara di seluruh dunia. Majoriti kes yang disahkan mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara Afrika selatan. Ada di kalangan mereka telah mengambil penerbangan dengan titik perantaraan negara Afrika dan Eropah.(1)
IMPLIKASI & LANGKAH PENJAGAAN
Berdasarkan bukti terhad yang ada pada masa ini, tahap penyebaran VOC Omicron terutamanya melibatkan negara European Union (EU) dinilai sebagai sangat tinggi.
Justeru itu, pada 26 November 2021 yang lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaludin turut mengumumkan bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk melawat 7 buah negara. Antaranya Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe susulan kemunculan varian baharu itu, berkuatkuasa 27 November. Pada 1 Disember, sekatan perjalanan bertambah kepada 8 buah negara, dengan tersenarainya sebuah lagi negara iaitu negara Malawi.
Selain sekatan perjalanan sementara, KKM juga telah menguatkuasakan langkah-langkah pengawalan yang lain, termasuklah:
1) Pemantauan dan kemaskini senarai negara yang melaporkan kes VOC Omicron.
2) Pengukuhan kawalan pintu masuk antarabangsa.
3) Pengangguhan kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing.
4) Pengecualian penyertaan program Pelancongan Antarabangsa Langkawi.
Sebagai kesimpulan, adalah sangat penting untuk kita semua saling memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan. Amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mengelakkan tempat sesak dan mengasingkan
diri apabila bergejala. Mudah-mudahan kita tidak alpa sehingga mengabaikan SOP-SOP yang boleh membantu
mengurangkan kadar jangkitan dan mutasi virus ini. Terutamanya di kalangan warga emas serta individu komorbiditi (individu dengan 2 penyakit atau lebih dalam satu masa yang sama).
Rujukan:
1) European Centre for Disease Prevention and Control. Threat Assessment Brief: Implications of the
emergence and spread of the SARS-CoV-2 B.1.1. 529 variant of concern (Omicron) for the EU/EEA.
https://www.ecdc.europa.eu/en/publications-data/threat-assessment-brief-emergence-sars-cov-2-variant-b.1.1.529
2) WHO Classification of Omicron (B.1.1.529): SARS-CoV-2 Variant of Concern.
https://www.who.int/news/item/26-11-2021-classification-of-omicron-(b.1.1.529)-sars-cov-2-variant-of-concern
3) Kenyataan Media KKM – 01/12/2021 – PERKEMBANGAN SEMASA VARIAN BAHARU OMICRON (B.1.1.529)
DAN LANGKAH-LANGKAH KAWALAN SERTA PENCEGAHAN DI MALAYSIA
https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/12/kenyataan-media-kkm-perkembangan-semasa-omicron-b11529-dan-langkah-kawalan-dan-pencegahan
Penulis : Nur Syamila binti Romli
Penyemak : Dr Norfarhana Abd Talib