“#AllEyesOnRafah, Apa Berlaku Di Benteng Terakhir Umat Gaza?”
Tiada jalan yang selamat.
Rafah, wilayah paling selatan Gaza yang sebelum ini pernah dikatakan dan sepatutnya menjadi zon selamat untuk 1.7 juta orang berlindung dibedil oleh Zionis Israel.
Serangan udara ke atas Rafah bermula pada 8 Oktober 2023 dan berterusan sepanjang perang. Israel mengumumkan niatnya untuk menyerang Rafah pada Februari 2024. Perkara tersebut menimbulkan tentangan daripada masyarakat antarabangsa. Amerika Syarikat, pembekal ketenteraan terbesar Israel juga menentang operasi tersebut.
Tapi pada 6 Mei, semuanya berlaku lebih teruk daripada apa yang kita mampu bayangkan. Walaupun Hamas sudah bersetuju dengan gencatan senjata, Zionis Israel tetap dahagakan darah rakyat Palestin.
Rafah mula diserang dari darat. Kereta-kereta kebal tentera Zionis bergerak melalui lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir. Bandar Rafah mula digempur. Sehari selepas tentera Zionis mula memasuki Rafah, 100,000 rakyat Gaza terpaksa berpindah ke Al-Mawasi di timur Rafah.
Al-Mawasi ini hanyalah tanah yang tiada sumber asas seperti makanan yang mencukupi, air, ubat-ubatan, kebersihan, elektrik, tempat perlindungan dan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak. Apatah lagi perlu menampung jutaan orang dalam satu masa.
Tak cukup dengan itu, tentera Zionis menyekat dan menutup lintasan sempadan Rafah dengan Mesir untuk menghalang bantuan kemanusiaan serta bekalan penting seperti bahan api yang diperlukan untuk kegunaan hospital yang masih beroperasi di Gaza. Agensi kesihatan PBB mencatatkan bahawa bantuan perubatan di Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 46,000 liter bahan api setiap hari hanya untuk pembedahan mereka. UNICEF melaporkan jalan ke Al-Mawasi sesak dengan orang yang hendak melarikan diri ke sana.
Sepanjang masa, Israel telah berkali-kali menyerang kawasan yang diarahkan untuk berpindah. Al Jazeera melaporkan tentang rakyat Palestin yang berpindah dari Rafah ditembak oleh bot tentera Zionis Israel. Kebanyakan antara mereka melarikan diri ke Deir al-Balah yang hanya mempunyai sebuah hospital yang beroperasi dan dikatakan sedang kehabisan ruang dan air untuk kegunaan seharian.
Pada 14 Mei sahaja, PBB sudah menganggarkan yang lebih daripada separuh juta orang telah melarikan diri dari Rafah. Bandar Rafah kini menjadi padang jarak padang terkukur. “Sukar untuk dipercayai bahawa lebih dari satu juta orang berlindung di sini hanya seminggu yang lalu,” seperti yang dilaporkan oleh jurucakap UNRWA, Louise Wateridge.
“Rakyat Gaza terpaksa menghadapi keletihan, kelaparan dan ketakutan yang berterusan tanpa henti sepanjang masa. Tiada tempat yang selamat. Hanya satu gencatan senjata segera adalah satu-satunya harapan.”
Itu nasib yang masih hidup. Manakala WHO melaporkan kira-kira 18,000 rakyat Gaza telah pergi buat selama-lamanya terdiri daripada 10,000 yang mayatnya telah ditemui dan 8,000 yang belum.
Daripada 24,686 kematian yang dikenal pasti, 40 peratus adalah lelaki (10,006), 20 peratus adalah wanita (4,959), dan 32 peratus adalah kanak-kanak (7,797) serta warga tua dengan 8 peratus daripada semua kematian yang dikenal pasti (1,924).
Percayalah, lebih ramai lagi yang telah terkorban. Terdapat kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menemui lebih ramai mayat wanita dan kanak-kanak dari rumah-rumah yang dihancurkan kerana mereka semua berlindung di rumah, sementara lelaki keluar mencari makanan dan bekalan untuk keluarga mereka.
Oleh: Azizul Farhan