Awas! Amarah Jejas Fadilat Puasa
Amarah, dendam dan benci ialah sifat semula jadi manusia. Cuma yang bezanya adalah cara setiap individu mengawalnya. Susah ke nak kawal marah?
Meh nak ‘share’ sikit!
Sebenarnya sifat marah ni ialah satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah.
Dalam konteks bulan Ramadan, kita sangat dituntut untuk mengawal nafsu kita. Selain menahan nafsu makan dan minum, kita juga perlu mengawal nafsu marah.
Tidak salah untuk marah. Tetapi nak marah perlu bertempat!
Nabi SAW sendiri pun pernah berasa marah kepada Usamah bin Zaid yang membunuh seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadat. Nabi SAW berkata kepada beliau:
“Apakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah? Usamah menjawab: Dia hanya mengucapkannya kerana takut dibunuh. Nabi SAW membalas: Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui samada dia benar-benar beriman ataupun tidak?”
(Sahih Muslim)
Marah boleh membawa kepada banyak kesan negatif kepada diri.
Kesan marah
-
Mudarat pada kesihatan
Kemarahan menunjukkan perubahan fisiologi dan biologi. Apabila seseorang itu marah, kadar denyutan jantung dan tekanan darah meningkat. Begitu juga dengan tahap hormon, tenaga, adrenalin dan noradrenalin. Kemarahan memudaratkan kesihatan diri.
-
Hubungan baik terjejas
Kemarahan yang tidak diekspres boleh mencemarkan suatu hubungan yang baik. Perilaku sebegini boleh membawa kepada perselisihan fahaman secara tidak langsung, tanpa memberitahu alasan atau personaliti yang seolah-olah sentiasa sinis dan bermusuhan. Individu tersebut akan memandang orang lain ke bawah,mengkritik segala-galanya, dan membuat komen sinis kerana tidak meluahkan kemarahan mereka secara sihat.
-
Jiwa Kacau
Ketika kemarahan dipendam, ia akan berbuah menjadi dendam. Hal ini, akan membawa kepada kekacauan emosi dan tiada penyelesaian.
Marah sebenarnya perlu diekspresi tetapi perlulah dalam bentuk yang sihat. Jika boleh, elakkan marah dan berbincanglah sehingga jumpa titik penyelesaian.
Cara meredakan kemarahan dari sudut pandangan Islam
-
Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk
Jika kita sedang marah, kebiasaannya kita bertindak lebih agresif dan ofensif.
Jadi, pesan Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya,
“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”
(Sunan Abi Daud)
-
Mengambil wuduk
Air yang bersifat sejuk mampu meredakan kepanasan hati yang membara ketika marah.
“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.” (Sunan Abi Daud)
-
Mengelak daripada Membuat Sebarang Keputusan Besar
Jangan tergesa-gesa membuat keputusan terutamanya ketika sedang marah kerana anda akan hilang pertimbangan untuk berfikir secara rasional akan akibat dari keputusan yang dibuat.
Nabi menegah umatnya untuk membuat keputusan melalui sabdanya,
“Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.”
(Sahih Muslim)
-
Diam
Ketika marah, pastinya segala perkataan kesat dan kasar akan keluar. Mungkin pertelingkahan akan lebih besar berlaku. Jadi mendiamkan diri adalah lebih baik.
Diam bukan tanda kalah!
Imam Bukhari telah menyebutkan di dalam salah satu kitab beliau yang masyhur berjudul Al-Adab al-Mufrad menyatakan bahawa, “Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.”
Kesimpulannya, kawal lah kemarahan anda! Sabar dan tenang ketika menghadapi dugaan. Jika tidak diatasi dengan segera, ia akan memakan diri. Tambahan pula, marah ketika berpuasa dapat melenyapkan pahala puasa.
Rugikan? Sia-sia penat berpuasa seharian!
Tidak salah untuk marah tetapi perlu kena dengan tempatnya lah!
Gerimis jatuh hujan mencurah,
Nyiur hijau daun kelapa,
Adik manis janganlah marah,
Kalau marah lekas tua.
Senyum-senyum selalu!
Sayangilah keluarga anda dengan kongsikan khasiat bersama-sama.
yang kaya dengan vitamin C dapat membantu tingkatkan kecantikan anda dari dalaman.
Apabila dah cantik, hiasi ia dengan senyuman manis!
Jom dapatkan anda sekarang!
Rujukan:
- “Marah Dan Kesan Marah.” Dr Minda Ilmu, drmindailmu.blogspot.com/2009/08/marah-dan-kesan-marah.html.
- “Pengurusan Kemarahan.” PORTAL My Health, www.myhealth.gov.my/pengurusan-kemarahan. Accessed 15 Apr. 2021.
- Tarmizi, Luqman. “AL-KAFI #877: NASIHAT DAN TIPS UNTUK MENGAWAL KEMARAHAN.” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 7 Nov. 2018, www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2731-al-kafi-877-nasihat-dan-tips-untuk-mengawal-kemarahan.