Bagaimana Pantang Larang Makanan Mempengaruhi Kehamilan?
Fasa kehamilan adalah fasa yang menggembirakan bagi ibu. Malah, ia juga adalah fasa yang banyak menguji ibu-ibu baik dari segi fizikal, emosi dan psikologi. Kehamilan adalah satu tempoh di mana kehendak serta permintaan nutrien fisiologi meningkat dengan ketara. Tempoh ini memerlukan kepada keperluan kalori tambahan dan pengambilan nutrien yang mencukupi buat ibu dan anak dalam kandungan. Oleh yang demikian, diet yang seimbang adalah sangat mustahak, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan ketika hamil, malah menyediakan simpanan buat tempoh penyusuan selepas bersalin.
Suplemen mikronutrien, pengambilan tenaga yang mencukupi, diet yang pelbagai, pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan produk haiwan sepanjang tempoh mengandung membantu memastikan wanita hamil dan menyusu tanpa kekurangan. Suplemen mikronutrien pula boleh meningkatkan status pemakanan ibu untuk mencapai pertumbuhan dan perkembangan janin serta selepas bersalin.
Walau bagaimanapun, sekatan dan halangan diet yang berlaku ketika tempoh kehamilan disebabkan kepercayaan yang salah atau pantang larang makanan boleh menjejaskan keupayaan ibu hamil untuk memenuhi peningkatan nutrien penting. Akibatnya, ibu-ibu hamil ini boleh mengalami risiko tinggi akibat kekurangan nutrien dan mempengaruhi kehamilan.
Apa itu pantang larang makanan yang dimaksudkan?
Amalan pantang larang makanan ini banyak berlaku di negara-negara membangun, dan ada pelbagai jenis makanan yang dianggap sebagai pantang larang. Setiap pantang larang ini mempunyai sebab serta justifikasi yang berbeza-beza mengikut masyarakat.
Sebagai contoh, dalam kalangan masyarakat Afrika Selatan, makanan yang paling biasa yang dielakkan sewaktu kehamilan ialah daging, ikan, kentang, buah-buahan, kekacang, telur, kacang mentega, dan labu, yang kesemuanya adalah sumber nutrien penting yang baik. Kajian di Ethiopia juga mendedahkan bahawa makanan yang termasuk dalam pantang larang semasa kehamilan ialah biji rami, madu, tebu, susu, yogurt, keju, daging berlemak, telur, buah-buahan, dan sayur-sayuran. Masyarakatnya percaya yang makanan ini boleh membuatkan kepala bayi besar dan sukar bersalin, berlakunya keguguran serta keabnormalan janin.
Satu kajian di Brazil mendapati bahawa wanita dilarang untuk makan daging buruan dan ikan pada waktu yang sama sewaktu mengandung kerana percaya bahawa gabungan kedua-dua jenis makanan tersebut boleh membunuh janin atau menyebabkan kemudaratan seperti muntah bagi wanita hamil. Malah, ada satu kepercayaan di Tanzania yang meletakkan larangan untuk makan daging ketika mengandung kerana bimbang bayi yang dilahirkan nanti mungkin mengambil ciri-ciri haiwan yang mereka makan.
Kebanyakan daripada justifikasi serta sebab di sebalik pantang larang makanan ini mungkin kedengaran lucu atau pelik, namun, bagi sesetengah budaya, ia telah berakar umbi dan menjadi amalan biasa ketika kehamilan. Wanita di bahagian selatan India biasanya mengelak daripada makan betik mentah semasa mengandung kerana mereka percaya bahawa betik boleh menyebabkan keguguran manakala wanita Mexico pula percaya bahawa telur boleh menyebabkan bayi mereka berbau busuk.
Di Malaysia, pantang larang yang serupa juga wujud. Menerusi beberapa kajian yang dijalankan terhadap wanita hamil di Malaysia, yang merangkumi bangsa Melayu, Cina dan India, kebanyakan mereka menyebut nanas sebagai makanan yang paling banyak dielak sewaktu kehamilan. Orang Melayu percaya bahawa memakan bahan ‘panas’ seperti nanas; terutamanya yang belum masak boleh menyebabkan pengecutan rahim yang kuat. Paling menarik dalam dapatan ini adalah, buah-buahan berbeza dianggap membawa kesan buruk yang sama bagi budaya berbeza. Wanita India percaya bahawa betik tidak selamat untuk dimakan oleh wanita hamil. Manakala orang Cina mendakwa pisang memudaratkan kehamilan kerana dianggap boleh menyebabkan keguguran jika dimakan pada awal kehamilan.
Konsep makanan ‘panas’ dan ‘sejuk’ agak meluas di Malaysia tetapi kriteria asas dan klasifikasinya tidaklah begitu jelas. Walaupun orang Melayu dan India percaya bahawa kehamilan adalah situasi ‘panas,’ namun, bagi orang Cina, mereka percaya kehamilan itu akan menyebabkan ketidakseimbangan berbahaya ‘yin; (sejuk) dan ‘yang’ (panas) dalam badan. Mereka percaya badan akan mengalami keadaan sejuk pada trimester pertama, justeru wanita hamil akan mengelak daripada makanan ‘sejuk’ pada trimester pertama.
Pantang larang makanan ini boleh meningkatkan risiko kekurangan protein, lemak, vitamin A, kalsium, dan zat besi pada wanita hamil jika diamalkan secara berterusan sepanjang tempoh kehamilan. Oleh itu, pendidikan dan kesedaran pemakanan dalam kalangan wanita hamil adalah penting untuk mengurangkan salah tanggapan terhadap jenis-jenis makanan yang mereka ambil ini. Program sebegini harus memberi tumpuan untuk mengubah pengetahuan, sikap dan amalan sewaktu kehamilan.
Oleh: Farahi Kamaruddin