Raya Ini Silalah BERHENTI Tanya Soalan ‘Bila Nak Kahwin?’ Adab Beraya Kita Wajib Tahu dan Amalkan!
Pasti semua dah tak sabar nak menyambut hari raya aidilfitri yang bakal menjelang ni. Lagi-lagi tahun ni kita semua dapat pulang ke kampung halaman setelah bertahun-tahun lamanya tak dapat pulang kerana PKP. Memang kebanyakannya semua betul-betul ‘all-out’ tak kurang serba serbi dalam persediaan menyambut hari raya ini. Beraya bersama berjumpa sanak saudara, jiran tetangga pasti semua tak sabar kan!
Tapi ketika hari raya ini, mungkin ada adab dan etika menzirarah yang harus kita cuba patuhi bagi menghormati tuan rumah dan tak mengguriskan mana-mana pihak lagi-lagi ini kan bulan mulia. Barulah seronok beraya bersama tanpa rasa sakit hati dari mana-mana pihak
Apakah ‘Common Sense’ Menziarahi Yang Wajib Kita Ikut Ketika Beraya?
Dah nak masuk raya 2022 ni masih ada lagi yang kurang ‘common sense’ dan tak ada rasa toleransi semasa beraya di rumah orang. Bab etika beraya ni mungkin nampak mudah tapi ramai sungguh yang terlupa dan tak perasaan sehingga boleh membawa keburukan kepada pertalian antara sesama kita. Kan dah rasa tak ‘best’ nak beraya!
1- Cuba Elakkan Dari Bertanya Soalan Sensitif
Mungkin inilah masanya untuk kita lebih sensitif dengan percakapan semasa beraya. Cuba elakkan dari bertanya soalan-soalan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada tuan rumah dan tetamu. Barulah rasa selesa beraya dan takda menyimpan sebarang dendam. Salah tanya soalan boleh teringat bertahun-tahun. Lagi-lagi membabitkan berkenaan dengan soalan privasi masing-masing kan! Contoh:
‘Ni awak ni Bila Nak Kahwin?’
‘Bila nak ada anak ni? Anak Saadiah dah 3 tetapi awak belum ada seorang pun?’
‘Gaji awak berapa sekarang?’
‘Kenapa berat badan naik sangat ni?’
Sudah-sudahlah bertanya soalan sebegini rupa, cuba berubah topik yang lebih santai dan kurang ‘berisiko’ ketika beraya. Awas ya!
2- Hormati Masa Tuan Rumah
Perkara ini sering menjadi pantang paling besar ketika beraya terutama bab masa beraya ini. Mungkin sebagai tetamu kita seharusnya lebih ‘alert’ dengan masa ketika beraya, jika ingin datang beraya cuba membuat temu janji terlebih dahulu dan janganlah pakai serbu sahaja rumah tuan rumah tersebut. Tak kiralah kawan rapat, sanak saudara ataupun jiran terdekat kan elok jika kita lebih bijak menghormati masa tuan rumah. Dan yang paling penting, janganlah beraya di lewat malam mungkin maksima masa yang boleh berada di rumah pada 10 malam. Jika terlambat sampai, datang esok sahaja. Oleh itu, tuan rumah boleh berehat dan sedia menerima tetamu keesokan harinya.
3- Jangan ‘Complain’ Hidangan Tuan Rumah
Tuan rumah sudah pun seronok menjamu kita dengan pelbagai hidangan raya biarpun hidangan yang sederhana seeloknya jagalah hati tuan rumah dengan elakkan mengkritik hidangan tersebut. Lagipun objektif kita datang beraya bukan sekadar untuk menjamu selera, tapi ingin merapatkan silaturahim kalau dah bermacam-macam kritikan yang diberi kepada tuan rumah, kan boleh membuat tuan rumah berkecil hati dan membuat pertalian kita makin jauh?
4- ‘Masuk Rumah Orang Butakan Mata, Keluar Rumah Orang Bisukan Mulut’
Sudah tiba masa untuk kita belajar berfikiran matang dan meletakkan adab ketika beraya di tempat teratas. Sentiasa menjaga hati, lisan, dan aib tuan rumah ketika beraya. Jika ada perkara yang kurang berkenan di hati kita biarkan ia terkubur sahaja tidak perlu menambahkan rasa kurang selesa kepada tuan rumah memberi ayat-ayat sindir atau yang paling teruk berkongsi soal aib tuan rumah di media sosial.
5- Jangan Menceroboh Di Ruang-Ruang Privasi Tuan Rumah
Ramai yang terlupa dengan perkara ini, mentang-mentang tuan rumah dah bagi kebenaran untuk beraya, kita pula ambil kesempatan dengan cuba menceroboh bilik, dapur atau ruang di dalam rumah tanpa kebenaran tuan rumah sendiri. Kalau anda menjadi tuan rumah, pasti tak selesa kan jika ada tetamu yang berperangai sebegini?
6- Jaga Kebersihan Rumah Ketika Beraya
Kalau dah beraya atau dijemput datang ke rumah terbuka cuba untuk menjaga kebersihan rumah tersebut. Elakkan buang sampah di merata-rata tempat seperti alas kuih tart diselit di celah-celah sofa atau di tempat yang bukan sepatutnya. Kan tak elok macam tu?
7- Bertanggungjawab Dengan Perangai Anak-Anak Ketika Beraya
Janganlah ambil mudah dengan dan terleka dengan perangai anak-anak terutamanya yang membawa anak kecil. Cuba untuk mengawal pergerakan anak-anak dan jika anak-anak merengek-rengek cuba untuk pujuk dan pastikan anak-anak terkawal dan tidak mengganggu tuan rumah ataupun tetamu yang lain.
Apabila berbincang mengenai adab dan ‘common sense’ beraya ni pasti banyak lagi yang kita boleh utarakan. Tapi ini mungkin masanya untuk kita lebih menyedari dan sensitif dengan keadaan semasa ketika beraya. Sentiasalah bertimbang rasa dan cuba untuk lebih menghormati tuan rumah dan tetamu-tetamu yang lain. Barulah sama-sama ‘happy’ ketika beraya! Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin semua!