![Delay Gratification: Jangan Bermewah Kerana Terasa Mampu](https://aafiyatcommunity.com/wp-content/uploads/2024/05/CB-OHY-2905-02-850x560.jpg)
Delay Gratification: Jangan Bermewah Kerana Terasa Mampu
Kalau anda mengenali Khairulaming, pasti anda lihat beliau seorang yang mementingkan ‘delayed gratification’ (menangguhkan kepuasan) untuk masa depan bisnes. Walaupun beliau berjaya dengan perniagaannya, beliau hanya menggunakan Perodua Bezza yang cukup untuk keperluannya sahaja.
Konsep ‘delayed gratification’ ini sama seperti seorang Muslim yang menangguhkan kepuasan dan bersabar di dunia untuk akhirat yang kekal abadi.
Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a. berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”
(H.R. Muslim).
Menangguhkan kepuasan bermakna seorang pemilik perniagaan perlu menjadi orang terakhir yang menerima bayaran dengan konsep ‘Leaders Eat Last’.
Manusia dan bisnes ada masa ‘up & down’. Jika bisnes jatuh, bukan semata-mata kerana produk atau servis itu tiada pasaran, tetapi strategi dan kepimpinan perlu dikaji semula. Menjalankan bisnes bukan semata-mata untuk hidup mewah atau kaya, tetapi ada tanggungjawab besar di sebaliknya.
Pada tahun 1960-an, Stanford University menjalankan kajian mengenai ‘Delayed Gratification’ terhadap kanak-kanak berusia 4-5 tahun menggunakan marshmallow, sejenis gula-gula yang menarik perhatian kanak-kanak. Eksperimen ini dijalankan oleh profesor di Stanford bernama Walter Mischel untuk melihat kesan sikap kanak-kanak ketika kecil terhadap kesihatan, kewangan dan kejayaan mereka di masa dewasa.
Setiap kanak-kanak diberikan seketul marshmallow dan diberikan syarat penting. Penyelidik memberitahu yang beliau akan meninggalkan bilik dan kembali semula. Jika kanak-kanak tidak makan marshmallow tersebut, mereka akan diberikan seketul lagi marshmallow. Jika mereka makan, tiada marshmallow kedua diberikan.
Penyelidik meninggalkan bilik tersebut selama 15 minit. Ada kanak-kanak yang terus makan marshmallow, tetapi ada beberapa yang menunggu sepanjang tempoh tersebut.
Penyelidik mengikut perkembangan kanak-kanak tersebut selama 40 tahun. Beliau mendapati kanak-kanak yang sabar untuk menunggu marshmallow kedua cenderung untuk cemerlang dalam bidang yang diceburi.
Eksperimen ini menunjukkan bahawa kemampuan mengawal kehendak untuk tujuan lebih besar membantu dalam kehidupan. Untuk berjaya dalam pengurusan kewangan masa depan, disiplin diperlukan pada hari ini.
Berikut adalah beberapa tips untuk melatih diri dalam menangguhkan kepuasan:
- Mulakan dengan sedikit. Latih diri untuk katakan ‘tidak’ pada perbelanjaan kecil dan kehendak sebagai persediaan masa depan.
- Ubah 1% untuk capai 100%. Pastikan ada peningkatan walaupun kecil. Ini lebih baik daripada tiada perubahan.
- Istiqamah. Konsisten dalam perkara kecil adalah kunci kejayaan kewangan yang kukuh.
Oleh: Azizul Farhan