Tergempar penyakit Monkeypox menular. Bahayakah penyakit Monkeypox ini? Fakta-Fakta Menarik Mengenai MonkeyPox!
Baru sahaja lega dengan Covid-19, kini kita semua digemparkan dengan penyakit lain yang menular iaitu monkeypox atau dikenali sebagai cacar monyet. Malah tular di media sosial bahawa ada kanak-kanak di Malaysia yang telah dijangkiti penyakit monkeypox ini padahal ia bukanlah penyakit monkeypox tetapi ia adalah penyakit HFMD.
Walaubagaimanapun, kita masih lagi bimbang terhadap wabak ini kerana saban hari semakin banyak kes yang telah dilaporkan di negara luar seperti Afrika, Kanada, United Kingdom dan lain-lain. Tetapi sampai harini kerajaan masih lagi optimis dalam strategi dan cara bagi menangani wabak monkeypox ini dan masih tidak menutup mana-mana pintu kemasukan negara.
Apa Itu Penyakit Monkeypox?
Monkeypox atau cacar monyet adalah penyakit dari jangkitan virus zoonosis yang mempunyai simptom seakan-akan seperti penyakit cacar. Terdapat beberapa simptom yang seakan-akan penyakit cacar seperti demam, keletihan, sakit kepala dan ruam makulapapular yang kebiasaanya akan bermula di bahagian muka, dan merebak di bahagian tubuh badan seperti tapak tangan dan kaki. Tetapi, penyakit ini didapati kurang serius secara klinikal. Setelah pembasmian cacar pada 1980 dan pemberhentian penghasilan vaksin cacar, cacar monyet muncul sebagai orthopoxvirus yang paling penting.
Terdapat beberapa fakta menarik mengenai penyakit monkeypox, mari kita lihat!
1- Monkeypox bukanlah penyakit baru tetapi telah ditemui berkurun lamanya
Monkeypox pertama kali dikesan pada tahun 1958, tetapi ia telah berlaku kepada monyet terlebih dahulu. Oleh kerana itu, ia diberi nama monkeypox dan kes pertama monkeypox kepada manusia telah direkodkan pada tahun 1970 di mana ia telah menjangkiti kanak-kanak berusia 9 tahun di Congo, Afrika. Sejak itu, penyakit ini mula menular dikalangan manusia dan sekarang kesnya semakin menaik.
2- Tiada ubat untuk penyakit Monkeypox
Setakat ini tiada ubat yang boleh mengubati penyakit monkeypox ini tetapi terdapat vaksin khas yang digunakan bagi mengawal merebaknya penyakit ini iaitu dengan menggunakan vaksin cacar, antivirus dan ‘vaccinia immune globulin (VIG)’. Malah menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, mereka juga telah mensasarkan untuk pemberian vaksin monkeypox ini kepada golongan bersasar terutama golongan kanak-kanak dan juga yang kurang daya tahan.
3- Demam dan sakit kepala yang sangat teruk menjadi simptom-simptom awal jangkitan
Terdapat banyak simptom-simptom yang akan dihadapi oleh pesakit monkeypox. Kebiasaanya, pada 0-5 hari setelah terdedah pesakit akan mengalami demam, sakit kepala yang sangat teruk, sakit belakang dan sakit otot. Simptomnya seakan-akan penyakit demam cacar dan yang akan membezakannya ialah bagi monkeypox, nodus limfa membengkak. Selepas itu barulah pesakit akan menghadapi ruam-ruam disekitar mulut dan lidah dan mula terdapat lepuhan di sekitar badan. Tetapi kebiasaanya pesakit monkeypox ini akan sembuh sendiri dalam tempoh 2-4 minggu mengikut tahap kesihatan pesakit. Tetapi langkah pencegahan awal harus sentiasa kita amalkan lagi-lagi kepada golongan berisiko iaitu kanak-kanak.
Berikut merupakan peringkat-peringkat bagaimana terjadinya ruam dan lepuh yang berlaku kepada pesakit monkeypox.
4- Monyet bukan haiwan tunggal yang membawa virus Monkeypox ini
Walaupun monyet yang pertama kali dikenal pasti sebagai pembawa virus monkeypox ini, tetapi ia juga boleh menjangkiti haiwan-haiwan lain seperti tupai dan tikus. Anda berisiko besar untuk dijangkiti jika terdedah dengan haiwan-haiwan ini, sila pastikan persekitaran anda bersih dan semua daging haiwan dimasak dengan betul bagi mengelakkan terkena jangkitan monkeypox. Jaga-jaga!
5- Kontak rapat menjadi punca utama merebaknya wabak Monkeypox ini
Penyakit monkeypox ini sangat mudah menjangkiti kepada manusia yang menjadi kontak rapat dengan pesakit monkeypox ini. Virus ini sangat mudah tersebar melalui sentuhan, lebih-lebih lagi jika orang lain tersentuh dengan luka, cecair respiratori atau objek yang tercemar seperti baju atau cadar milik pesakit. Oleh itu, sentiasa amalkan penjagaan kebersihan tahap maksimum lagi-lagi kita di tahap dimana banyak penyakit-penyakit yang mudah berjangkit ini.
Peranan ibu bapa dan orang awam sangat penting bagi mencegah penularan penyakit monkeypox ini. Biarpun setakat ini tiada lagi penularan penyakit monkeypox di Malaysia, tetapi kita seharusnya ambil tahu dan sentiasa berada dalam ‘mood’ berjaga-jaga. Jaga diri semua!
Sumber: Hello Doktor dan Harian Metro