
First-Time Buat Korban? Ketahui 4 Perkara Asas Ini!
“First-time nak korban ni… Apa yang perlu saya ambil tahu?…”
Setiap tahun umat Islam khususnya di Malaysia menyambut perayaan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban di kariah masing-masing. Setiap masjid dan surau akan berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing yang sesuai untuk dikorbankan. Pengusaha ternakan juga berusaha untuk menyediakan bekalan secukupnya bagi memastikan setiap permintaan dapat dipenuhi dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Jika anda baru pertama kali nak buat ibadah korban pada tahun ni, tentunya anda berasa teruja dan tak sabar nak melihat ibadah itu dilaksanakan. Tapi, dalam melaksanakan ibadah tersebut, terdapat beberapa perkara asas yang perlu anda ketahui.
- Memilih Haiwan Korban Sendiri
Bagi golongan yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban dengan seekor haiwan yang sempurna, maka anda digalakkan untuk memilih haiwan korbannya sendiri. Antaranya ialah haiwan korban yang paling banyak dagingnya. Sepertimana yang telah disebutkan oleh ulama mengenai turutan ibadah korban yang terbaik mengikut keutamaan haiwan:
A. Unta
B. Kerbau
C. Lembu
D. Biri-biri
E. Kambing
- Menyembelih Sendiri Haiwan Korbannya
Bagi peserta lelaki, anda disunatkan untuk menyembelih sendiri haiwan korban jika berkemampuan (iaitu berkemahiran untuk menyembelih). Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibas berwarna putih yang bertanduk (sebagai korban) dengan tangannya sendiri, sambil Baginda menyebut nama Allah dan bertakbir serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibash tersebut.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan perbuatan Nabi SAW melalui hadis di atas, maka disunatkan bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban untuk menyembelih sendiri haiwan korbannya, ini kerana ittiba’ (mengikut) perbuatan Nabi SAW. Baginda sendiri pernah menumbangkan 100 ekor unta dan menyembelih 63 ekor daripadanya. Selebihnya baginda serahkan kepada Sayyidina Ali RA untuk menyelesaikannya.
Tetapi, jika sekiranya dia tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, maka boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih haiwan korban bagi pihak dirinya, namun disunatkan baginya untuk melihat sendiri sembelihan itu walaupun bukan dirinya yang melakukan sembelihan tersebut.
Imam Al-Azra’i RA berkata: “Disunatkan bagi lelaki yang uzur, lemah dan sebagainya – tidak mampu untuk menyembelih sendiri, supaya mewakilkannya dan menyaksikan sembelihan tersebut.”
- Menyaksikan Sembelihan Korban
Bagi peserta yang tidak mampu untuk menyembelih sendiri (khususnya kaum wanita), disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan acara sembelihan korban, setelah dia mewakilkan sembelihan tersebut kepada tukang sembelih. Hal ini berdasarkan sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW memerintahkan kepada anak perempuannya, Sayyidatina Fatimah RA: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan haiwan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Berdasarkan hadis di atas, dapat kita fahami bahawa arahan Nabi Muhammad SAW kepada Sayyidatina Fatimah RA supaya menyaksikan sembelihan itu menunjukkan bahawa beliau telah mewakilkan orang lain untuk melaksanakan sembelihan bagi pihak dirinya. Malah hadis ini juga menunjukkan sunat bagi mereka yang melakukan ibadah korban untuk melihat haiwan sembelihannya.
Selain itu, hadis di atas juga menjelaskan tentang kelebihan menyaksikan sembelihan sendiri kerana dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.
- Mengagihkan Sendiri Daging Korban
Kemeriahan suasana acara sembelihan korban yang disusuli pula dengan pengagihan daging korban kepada penduduk setempat, malah peserta korban itu juga digalakkan untuk mengagihkan sendiri daging-daging korbannya kepada ahli di kawasan kariah. Ini dapat dilihat sebagai menghidupkan dan menzahirkan syiar agama Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan unta (sebagai haiwan korban yang akan disedekahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada sembelihan unta tersebut ada kebaikan bagi kamu.” (Surah Al-Hajj: 36)
Selain daripada itu, ibadah korban juga memupuk kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Inilah keindahan dan kemurnian Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Betapa besar rahmat-Nya dalam menyatu-padukan umat Islam tanpa membezakan antara yang miskin ataupun yang kaya. Semua golongan dapat berhari raya sambil menikmati daging-daging korban yang disembelih demi mencari keredaan Allah SWT.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda dan selamat menjalani ibadah korban!
Jom tambah ilmu tentang amalan sunat ibadah korban dengan mendapatkan E-book ini secara percuma! Daftar di sini.