“Jangan Bunuh Dirimu! Tuhan menyayangimu”
Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan remaja zaman kini adalah perkara yang sering menjadi tumpuan di dada akhbar pada masa kini. Perkara ini bukanlah menjadi suatu rahsia dalam masyarakat kini kerana perkara ini sering diperkatakan dan terjadi kepada remaja zaman kini.
Masalah kesihatan mental yang berlaku kepada anak anak ini kadangkala “dibuat buat” oleh remaja ini demi mendapatkan perhatian dan sebagainya. Tetapi, ada juga sebahagian besar yang sememangnya menghadapi masalah ini sedari kecil lagi.
Antara punca utama berlakunya perkara ini adalah disebabkan faktor ibu bapa. Mengapa faktor ibu bapa? Yang pertamanya, tekanan yang diberikan oleh ibu bapa keatas anak anak. Ibu bapa memberi tekanan yang luar biasa kepada anak anak seperti membandingkan anak dengan adik beradik yang lain atau dengan anak orang lain.
Fenomena ini kadangkala bagus untuk melahirkan semangat persaingan tetapi tidak boleh dibiasakan selalu. Cukuplah sekadar teguran dan galakan untuk memperbaiki kesalahan dan kesilapan dalam pembelajaran.
Selain itu, memberi tekanan kepada anak anak untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan kawan kawannya. Kadangkala, ibu bapa sering menganggap bahawa dirinya di landasan yang betul dalam mendidik anak. Tetapi, tanpa mereka sedar mereka sebenarnya sedang membentuk satu karakter ketakutan dalam diri anak anak untuk takut jikalau berada dalam risiko (seperti gagal dan sebagainya).
Dan yang terakhir, kurangnya layanan ibu bapa. Memang diakui, majoriti ibu dan bapa kini sedang sibuk bekerja. Tetapi, perlu diingat anak anak ini juga perlukan kasih sayang sebuah keluarga. Perkara ini akhirnya melahirkan perasaan “endah tidak endah” akan keluarganya apabila anak ini dewasa kelak.
Tekanan demi tekanan inilah yang akhirnya memicu anak anak dan remaja ini untuk keluar dari permasalahan ini dengan jalan yang mudah. Iaitu Bunuh Diri. Tekanan demi tekanan yang dihadapi remaja ini yang menyebabkan mental anak anak ini sekuat mana pun akhirnya “koyak” juga.
Justeru, sebagai ibu bapa, masyarakat dan guru sewajarnya kita memahami erti mendidik remaja dan anak anak agar mereka ini tidak lahir dalam diri mereka benci akan kehidupan benci akan dunia benci akan keluarga dan segalanya.
Didiklah dengan baik dan hentikanlah gunakan “Derhaka” kepada anak di jalan yang salah. Kerana kelak perkara tersebut akan memakan diri kita semula.
Untuk mereka yang berputus asa dari kehidupan, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengasihani kamu. (Surah An-Nisa’ : 29)
Untuk kamu, sayangilah dirimu sungguh Tuhan menyayangi dirimu. Sabarlah dengan mehnah dunia ini. Ini Cuma sementara, bersabarlah setiap kesulitan yang mendatang kelak kemudahan pasti akan sirna buatmu.
Oleh : Muqri Nizam