
Kenapa Ada Manusia Berperangai Bodoh Sombong?

Pernah tak korang jumpa orang yang bodoh sombong? Tak reti apa-apa, tapi confident dia tu macam dewa. Itulah bodoh sombong, atau dalam bahasa canggihnya: Kesan Dunning-Kruger.
Kesan Dunning-Kruger ni adalah sejenis bias kognitif yang menerangkan bagaimana individu yang kurang kemahiran atau pengetahuan sebenarnya menyangka mereka lebih hebat daripada yang sebenarnya. Mereka ni tak boleh nilai kemampuan mereka dengan betul dan sering keliru dengan kebolehan sendiri.
Istilah ini diperkenalkan pada tahun 1999 oleh David Dunning dan Justin Kruger di Cornell University. Kajian di Michigan University pula mendapati semakin rendah IQ seseorang, semakin agresif tingkah lakunya. Mereka juga tak suka menerima kritikan, walaupun ia membina.
Fenomena aneh ini dikenal pasti sebagai kecenderungan kognitif oleh dua orang pakar psikologi sosial, David Dunning dan Justin Kruger, dalam satu kajian yang bertajuk “Unskilled and Unaware of It: How Difficulties in Recognizing One’s Own Incompetence Lead to Inflated Self-Assessments”. Penemuan ini dibuat berdasarkan kes jenayah popular seorang penjenayah bernama Mr. McArthur Wheeler.
Kes McArthur Wheeler adalah kes jenayah yang agak luar biasa pada tahun 1995 yang melibatkan lelaki berusia 44 tahun merompak bank. Penjenayahnya, McArthur Wheeler, sebelum itu telah membaca tentang sifat-sifat unik jus lemon dan salah menafsirkannya ke tahap yang melampau atau agak pelik.
Dia menganggap bahawa disebabkan sifat kimia jus lemon agak sama dengan dakwat lutsinar (invisible ink), maka apabila jus lemon disapu pada wajahnya, wajahnya tidak akan kelihatan atau kabur daripada rakaman kamera keselamatan. Atas kepercayaan inilah, dia dengan yakinnya merompak dua buah bank di Pittsburgh tanpa menggunakan sebarang topeng atau penutup muka.
Sudah tentulah rakaman kamera litar tertutup dapat mengesan dan merakamkan wajahnya dengan jelas dan dia berjaya ditangkap pada hari yang sama. Dia terkejut kerana pihak polis berjaya mengesannya terlalu pantas kerana dia telah menyapu mukanya dengan jus lemon yang menurutnya akan menutup wajahnya.
Pakar psikologi sosial dari Cornell University, Dunning dan Kruger, mengkaji kes yang menarik ini dengan lebih mendalam dan menerbitkan satu kajian yang berjudul “Unskilled and Unaware of It” pada Disember 1999.
Orang yang mengalami sindrom ini gagal menilai kemampuan sebenar mereka. Terlalu yakin. Mereka suka mempersendakan orang lain tanpa sedar diri sendiri pun tak tahu apa.
Socrates pernah berkata: “kebijaksanaan sebenar adalah apabila kita mengetahui bahawa kita tidak tahu apa-apa.”
Dalam tradisi Islam, masalah ini dipanggil jahil murakkab. Iaitu seseorang yang jahil dan dia langsung tak tahu apa yang dia tak tahu. Mengajar orang sebegini lebih susah sebab kita kena tunjukkan dulu di mana kejahilannya sebelum boleh ajar ilmu yang sebenar.
Sepertimana yang pernah disebut oleh Imam Syafi’e yang menyatakan sulitnya berdebat dengan orang bodoh. Beliau berkata :
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.
Oleh: Azizul Farhan