
Kenapa Kita Perlu Tahu Tentang Keselamatan Makanan?
Pada 7 Jun yang lalu, Hari Keselamatan Makanan Sedunia telah disambut. Pada tahun ini, tema sedunianya telah menggariskan kepentingan dalam persediaan menghadapi insiden keselamatan makanan, tidak kira betapa ringan atau teruknya sesuatu insiden itu.
Tahukah anda bahawa satu dalam sepuluh orang di seluruh dunia jatuh sakit akibat makanan yang tercemar setiap tahun, manakala ada lebih 200 jenis penyakit yang berpunca daripada bahan makanan yang tercemar. Disebabkan inilah, maka isu keselamatan makanan ini sebenarnya sangat penting dalam proses penyediaan makanan dan menentukan tahap nutrisi seseorang individu.
Jadi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan keselamatan makanan ini?
Keselamatan makanan merujuk kepada semua amalan yang digunakan untuk memastikan makanan disimpan selamat pada setiap peringkat rantaian pembuatan makanan, bermula daripada penuaian, pemprosesan, penyimpanan, pengedaran, penyediaan, hingga penggunaan. Dari sudut isi rumah atau pengguna, keselamatan makanan ini bermaksud memastikan makanan itu dikendalikan, disediakan dan disimpan dengan betul untuk mengelakkan penyakit bawaan makanan.
Institut Makanan dan Pertanian Kebangsaan (NIFA) bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan makanan dikawal berdasarkan prinsip saintifik moden. Ia bekerjasama secara meluas dengan agensi kerajaan lain, rakan kongsi sektor swasta, universiti dan kolej, dan lain-lain untuk mengekalkan bekalan makanan negara, mencegah penyakit bawaan makanan, dan mendidik semua pengendali makanan, termasuk pengguna.
Di Malaysia, piawaian untuk keselamatan dan kualiti makanan diselia oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD) Kementerian Kesihatan untuk memastikan aktiviti pemprosesan makanan mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan, serta menyelia keseluruhan aktiviti merentasi rantaian bekalan. Bahagian ini menyeru penggubal dasar, pemilik perniagaan makanan, institusi pendidikan dan tempat kerja, serta pengguna untuk mempromosikan dan mengamalkan pengendalian makanan yang selamat.
Di Malaysia, kita dapat melihat pihak berkuasa menekankan kepentingan keselamatan makanan di seluruh negara, contohnya, majlis bandaran mengumpul sampel daripada penjual bazar semasa musim perayaan bertujuan untuk memastikan peniaga sentiasa berhati-hati dalam usaha memerangi pencemaran makanan.
Kita juga melihat jabatan kesihatan peringkat negeri melaksanakan pemeriksaan di seluruh pasar, kedai runcit dan pasar raya, mengeluarkan kompaun kepada mereka yang masih mempromosikan makanan yang telah tamat tempoh dan bungkusan yang rosak di rak mereka.
Semua langkah penguatkuasaan ini dijalankan demi menghalang sebarang insiden keselamatan daripada berlaku. Insiden keselamatan makanan adalah situasi di mana terdapat potensi atau risiko kesihatan yang disahkan berkaitan dengan penggunaan makanan. Insiden makanan boleh berlaku, contohnya, disebabkan oleh kemalangan, kawalan yang tidak mencukupi, penipuan makanan atau kejadian semula jadi. Walaupun persediaan dalam menguruskan insiden keselamatan makanan memerlukan usaha berdedikasi daripada penggubal dasar, pihak berkuasa keselamatan makanan, petani dan pengusaha perniagaan makanan, pengguna juga boleh memainkan peranan yang aktif.
Mempelajari tentang keselamatan makanan ini adalah penting untuk melindungi pengguna daripada risiko kesihatan yang berkaitan dengan penyakit bawaan makanan. Dalam memastikan setiap makanan yang disediakan adalah selamat serta bebas daripada sebarang keracunan makanan, setiap orang yang mengendalikan atau bekerja di sesebuah premis jualan makanan perlu dipastikan dapat memahami prosedur keselamatan makanan yang tepat. Mereka mesti memahami bagaimana makanan boleh tercemar pada awalnya, jenis pencemaran makanan yang berbeza, dan makanan yang berisiko tinggi (daging dan ayam mentah, sayur-sayuran yang tidak dibasuh, dan lain-lain).
Prosedur ini harus memberi penerangan kepada pengendali tentang cara menyimpan, menyejukkan, mencairkan dan menyediakan makanan dengan selamat, cara membersihkan permukaan, peralatan dan perkakas dengan berkesan, dan memahami sebab kebersihan diri dan tingkah laku tempat kerja yang sesuai juga diperlukan dalam aspek keselamatan makanan.
Bagi pihak pelanggan dan pengguna makanan pula, mereka juga seharusnya cakna dengan potensi bagaimana sesuatu penyakit bawaan makanan itu boleh berlaku, walaupun ia selalunya berlaku tanpa sengaja. Keadaan keracunan ini berlaku apabila makanan tercemar dengan mikroorganisma berbahaya, dan yang paling biasa adalah bakteria patogen seperti E. coli, Listeria dan Salmonella. Makanan yang berpotensi membawa bakteria ini mesti dikendalikan, dibersihkan dan dimasak dengan betul, dengan permukaan dan perkakas yang bersentuhan dengannya dinyahjangkit. Potensi risiko lain juga boleh berlaku apabila virus seperti norovirus dan Hepatitis A bersentuhan dengan makanan.
Gejala penyakit bawaan makanan atau keracunan ini termasuklah loya, sakit perut atau kekejangan, muntah, cirit-birit berdarah, sakit kepala, dan demam. Keterukan gejala ini boleh berbeza-beza bergantung pada jenis jangkitan bakteria atau virus dan kesihatan pengguna.
Secara keseluruhannya, isu keselamatan makanan ini perlu dititikberatkan bukan sahaja bagi pihak pengendali makanan, tetapi juga oleh para pengguna makanan. Mengekalkan tabiat asas dalam keselamatan makanan akan melindungi kesihatan dan kesejahteraan penduduk, mencegah penularan penyakit bawaan makanan, dan memelihara persekitaran yang sihat.
Oleh: Farahi Kamaruddin