Kenapa Menguap Boleh Berjangkit?
Perasan tak kalau korang melihat seseorang mengantuk, korang ikut sekali mengantuk? Ya, inilah ‘jangkitan’ yang masih tidak dapat diselesaikan. Saintis sendiri masih tidak dapat menyelesaikan kemisterian ini!
Saintis sebenarnya telah menemui jawapan mengapa manusia dan haiwan menguap dari segi biologi, namun apa yang menyebabkan mengantuk bersifat berjangkit ini mereka masih garu kepala.
Bagi mencari jawapannya, saintis perlu menyelidik dari segi fisiologi haiwan, kelakuan psikologi dan sosial. Pokoknya, mereka harus mengkaji lebih mendalam akan sifat mengantuk sebegini.
Seorang ahli biologi evolusi bernama Andrew Gallup dari State University of New York Polytechnic Institute, Amerika Syarikat (AS) telah menjalankan kajian seperti ini pada tahun 2021. Menurut beliau, mengantuk berjangkit adalah cara bagi sekelompok haiwan untuk melaraskan kelakuan dan sebagai amaran berjaga-jaga.
Menguap terjadi apabila kita merasa penat, otot rahang perlu direngangkan, dan diafragma iaitu otot pernafasan melentur, sehingga mampu menarik nafas dan menyedut udara yang segar dan bersih. Menguap juga mampu selaraskan suhu darah supaya dapat sejukkan otak. Dengan ciri-ciri ini, menguap menjadi sebahagian dari kejadian haiwan dan manusia.
Menguap juga terjadi sebagai peralihan aktiviti ke aktiviti seterusnya seperti dari kepenatan pergi ke fasa berehat dengan berbaring, dan dari fasa tidur hingga bangun pagi. Tambahan lagi, menguap sebagai tanda ketiadaan perubahan atau tiada jangkaan baru apabila berada dalam situasi yang kekal. Mudah kata, kalau kita kebosanan, menguap adalah cara kita pamerkan kebosanan.
Gallup terangkan bahawa menguap beramai-ramai mempunyai manfaatnya sendiri, iaitu panggilan untuk individu lain yang baru bangun bagi seimbangkan kesedaran dengan mengantuk. Beliau menemui bahawa menguap beramai-ramai boleh meningkatkan kepekaan kepada sekeliling jika seseorang dalam kumpulan itu menguap.
Semasa ditemuramah oleh wartawan Science Magazine, Gallup menerangkan tentang kajian lepas, di mana mereka mendapatkan sukarelawan dan memberikan gambar yang bersifat mengancam seperti ular dan gambar tidak bersifat mengancam seperti katak.
Kemudian para sukarelawan ini diwajibkan menonton beberapa video orang menguap atau menggerakkan mulut, seterusnya mengesan beberapa gambar ular dan katak yang tersembunyi.
Keputusannya, rata-rata sukarelawan yang telah menonton orang menguap mempunyai masa yang begitu singkat mengesan gambar ular, berbanding gambar katak.
Di sinilah Gallup dapat jelaskan di mana kepekaan manusia terhadap bahaya lebih tinggi apabila melihat orang mengantuk. Maka, menguap beramai-ramai ada faedahnya dari segi komunikasi sosial sesama haiwan dan manusia.
Jadi, korang tak perlu risau kalau tetiba dari seorang mengantuk, berjangkit ke semua orang mengantuk. Ini benda yang biasa dalam aktiviti tubuh badan manusia. Harap korang tak mengantuk la lepas baca artikel ni.
Oleh: Dinie Liow (Dans)