Limau Punca Batuk? Ketahui Fakta & Cara Basuh yang Betul!
Limau Mandarin memang simbolik kepada perayaan Tahun Baru Cina. Tak kira banga melayu, cina atau india, masing-masing pasti akan dapatkan buah ini kerana rasanya yang manis.
Sekali membeli bukannya sekotak je, berkotak-kotak boleh diborong sebab pada musim perayaan ini lah buah ini boleh didapati dengan harga yang murah!
Bila dah bukak, memang tak sedar diri pula kita makan, sampai ada yang batuk dan sakit tekak. Alamak… ni tak syok ni. Tapi betul ke limau ni yang menjadi punca batuk?
Jom ketahui lebih lanjut!
Betul ke limau punca batuk?
Menurut ahli kimia, Dr Fatimah Salim, memang benar.
Kulitnya mengandungi bahan kimia sulfur dioksida (SO2). Bahan kimia SO2 ini digunakan sebagai pengawet (dalam bentuk gas atau garam terbitan) pada buah limau Mandarin bertujuan mengekalkan kesegaran dengan mengelakkan kulitnya berubah keperangan, juga menghalang pertumbuhan kulat. Namun, jumlah SO2 yang digunakan adalah sedikit iaitu tidak melebihi dari dos yang dibenarkan (30 mg/kg) oleh badan bertanggungjawab antarabangsa.
SO2 dalam kuantiti yang sedikit ini pada kulitnya, tidak akan mendatangkan bahaya kerana badan kita mampu untuk detox secara semulajadi. Ianya selamat, sebab itu ianya dibenarkan sebagai pengawet pada makanan.
Sebenarnya selain daripada penggunaan pada limau Mandarin, bahan kimia pengawet SO2 juga digunakan dalam buah kering seperti kismis, prune, juga dalam minuman berkarbonat dan beralkohol. Namun, apa-apa produk makanan yang mengandungi bahan kimia SO2 wajib meletakkannya pada label sebagai panduan untuk individu yang sensitif.
Ini kerana individu yang sangat sensitif kepada SO2 terutamanya mereka yang mempunyai penyakit asthma berpotensi berhadapan dengan masalah pernafasan yang kronik.
Cara Mencuci Limau
Biasanya pada kotak limau Mandarin tiada dilabel penggunaan bahan kimia SO2 ini. Maka, cara mudah untuk membuangnya adalah mencuci terlebih dahulu buah ini dengan air sebelum dimakan. Ini kerana bahan kimia SO2 mudah larut air (H2O) membentuk bahan kimia asid sulfurus, sejenis asid lemah.
Semoga bermanfaat! 😊