Penjagaan Mata Yang Betul Dapat Elak Masalah Mata Di Masa Hadapan
Katarak, Glaukoma, Rabun Dekat dan Rabun Jauh adalah antara masalah utama kesihatan mata. Sekiranya penjagaan mata diabaikan, masalah ini boleh menjadi kronik. Jangan anggap ia remeh!
Artikel ini akan memperincikan mengenai masalah mata sekaligus memberikan anda maklumat berkaitan dengan penjagaan kesihatan mata.
Menarik bukan? Teruskan membaca!
Mata
Mata terletak pada kedudukan paling atas dan paling hadapan pada sistem tubuh manusia. Kepentingan organ mata ternyata setaraf dengan kedudukannya. Ia antara organ paling penting dalam kehidupan insan.
Dari sudut sains, apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai “mata”?
Mata, walaupun saiznya kecil, ianya sangat kompleks. Ia adalah organ yang mempunyai kemampuan mengesan cahaya dan mengubahnya secara semulajadi kepada bentuk isyarat di dalam sel saraf. Isyarat itu pula akan membentuk sebuah gambar di dalam otak.
Semua proses berkenaan sangat kompleks. Ia berlaku menerusi pelbagai sistem jalur saraf kompleks yang menghubungkan mata menerusi saraf optik dan konteks visual dan kawasan lain di dalam otak.
Hebatnya Pencipta sistem optik yang sangat unik, ajaib dan kompleks ini.
Bagaimanapun, atas sifat semulajadinya, organ mata juga tertakluk kepada proses penuaan. Ia terdedah kepada kemungkinan pelbagai masalah kesihatan seperti yang dinyatakan di awal artikel.
Apakah yang dimaksudkan dengan Rabun Silau, Rabun Jauh, Rabun Dekat, Katarak dan Glaukoma?
Semuanya dikaitkan dengan rabun mata. Namun setiap satu ada ciri dan spesifikasinya tersendiri.
Rabun Silau
Apakah Rabun Silau? Rabun Silau atau “Astigmatisme” sebenarnya merujuk kepada masalah, di mana, lebih dari satu titik fokus imej terbentuk di dalam mata. Biasanya masalah ini berpunca dari permukaan kornea yang tidak rata.
Keadaan permukaan kornea itu menyebabkan cahaya yang masuk tidak dapat difokuskan pada satu titik. Akibatnya terbentuklah imej yang kurang jelas dan berlakulah masalah yang dipanggil sebagai Rabun Silau.
Masalah Rabun Silau boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja dan pada sebarang peringkat umur. Ia mungkin terjadi ketika lahir atau selepas menjalani pembedahan mata akibat kecederaan. Malah, pembedahan mata itu sendiri boleh menyebabkan Rabun Silau.
Apakah tanda-tanda anda mengalami masalah rabun silau? Boleh dikatakan hampir semua orang mengalami rabun silau, tetapi pada tahap yang berbeza. Tanda-tanda biasa yang dialami adalah seperti berikut:
- Mata kabur pada sebarang jarak.
- Pandangan terherot.
- Mata letih.
- Juling – keadaan mata yang tidak selari antara satu sama lain.
- Sakit kepala.
- Susah memandu pada waktu malam dan kadang – kadang pandangan nampak dua.
- Mata sering berkelip atau sering menutup mata.
Anda ada mengalami tanda tanda yang dinyatakan ini? Sila pergi berjumpa doktor mata secepat mungkin.
Rabun Jauh
Rabun Jauh (Nearsightedness) atau dikenali juga sebagai Myopia merujuk kepada keadaan cahaya yang masuk ke dalam mata di mana titik fokusnya berada di hadapan retina.
Ini menyebabkan objek pada jarak jauh kelihatan kabur. Gejala ini ada kaitan dengan kedudukan bola mata yang terlalu panjang dan kuasa pembiasan (refraktif) mata terlalu tinggi.
Rabun jenis ini akan menyebabkan penglihatan menjadi jelas untuk objek jarak dekat, tetapi kabur bagi objek jarak lebih jauh.
Tanda-tanda yang selalu dialami oleh individu yang mengalami Rabun Jauh adalah:
- Dapat melihat dengan jelas objek pada jarak dekat tetapi kabur bagi objek pada jarak yang lebih jauh.
- Menonton TV pada jarak yang terlalu dekat.
- Menggosok mata kerana objek yang dilihat tidak jelas.
- Mata kerap berair.
- Mengecilkan mata bagi melihat objek jarak jauh.
- Membaca buku pada jarak yang sangat dekat (kurang dari 30 cm).
- Kerap sakit kepala.
Pergilah berjumpa pakar mata segera sekiranya anda ada mengalami tanda tanda Rabun Jauh.
Rabun Dekat
Rabun Dekat (Farsightedness), juga dikenali sebagai Hiperopia, merujuk kepada kelainan pembiasan cahaya di dalam mata. Titik fokus dari cahaya yang masuk ke dalam mata terbentuk di belakang retina.
Masalah Hiperopia ada kaitan dengan bebola mata yang terlalu pendek dan tahap lengkungan kornea di dalamnya.
Kesannya, objek pada jarak dekat akan kelihatan kabur. Penghidap tidak dapat membaca pada jarak yang normal, iaitu kira-kira 30 sentimeter. Beliau perlu menjauhkan jarak bahan bacaannya supaya dapat nampak secara jelas.
Tanda-tanda masalah rabun dekat adalah:
- Kabur pada jarak dekat tetapi terang pada jarak jauh. Orang muda mungkin tidak mengalami apa-apa gejala.
- Rabun dekat yang tinggi akan mengakibatkan kabur pada jarak jauh dan dekat serta perlu mengecilkan mata untuk melihat jelas.
- Mata letih dan sakit kepala terutamanya selepas melakukan kerja dekat atau membaca.
- Memegang bahan bacaan pada jarak biasa.
- Pencahayaan biasa untuk membaca.
- Tiada perbezaan ketara dengan peningkatan umur.
Jangan pandang mudah pada tanda tanda di atas. Segera berjumpa doktor sekiranya anda mengalaminya.
Katarak
Katarak (Cataract) ialah masalah kesihatan mata yang ada kaitan dengan kanta mata. Kanta terletak di dalam anak mata. Dalam keadaan biasa, kanta yang sihat adalah jernih dan membolehkan cahaya masuk ke lapisan retina untuk memproses imej.
Bagaimanapun, apabila usia seseorang meningkat, biasanya setelah memasuki umur 50 ke atas, kanta akan mula menjadi keruh dan kekuningan. Akibatnya, penglihatan menjadi kabur.
Pada masyarakat awam, Katarak lebih dikenali sebagai ‘selaput mata’. Namun, ia bukan selaput biasa yang mudah dibuang begitu sahaja. Ia selaput yang berada di bahagian dalam mata.
Penghidap Katarak biasanya mengalami penglihatan yang semakin kabur serta sukar nampak imej kecil.
Glaukoma
Glaukoma (Glaucoma) pula ialah masalah kesihatan mata yang membabitkan kerosakan saraf optik. Saraf optik ialah sistem semulajadi di dalam mata yang menjadi laluan untuk membawa imej yang dilihat oleh mata ke otak.
Bahaya Glaukoma ialah apabila saraf optik rosak, tidak mustahil lama kelamaan, boleh menyebabkan buta.
Masalah kesihatan mata jenis ini boleh dihidapi sesiapa sahaja. Ia ada kaitan dengan faktor usia, sejarah keluarga, tekanan terhadap bola mata yang ada kaitan dengan hipertensi, rabun jauh, pengambilan ubat mengandungi steroid secara berterusan untuk tempoh lama, diabetes dan migrain.
Masalah Glaukoma terbahagi kepada dua jenis:
- Glaukoma Sudut Tertutup
- Glaukoma Sudut Terbuka
Antara tanda tanda Glaukoma adalah:
- Sakit pada bola mata.
- Penglihatan yang semakin kabur.
- Mata merah.
- Sakit kepala, mual dan muntah.
- Tekanan yang semakin meningkat pada bola mata.
Punca Masalah Mata
Apakah sebenarnya punca kerosakan atau penyakit mata? Mari kita perincikan satu persatu.
Punca Rabun Silau
Punca Rabun Silau ada kaitan dengan permukaan kornea yang tidak sekata atau beralun menyebabkan cahaya yang masuk tidak dapat difokuskan pada satu titik sahaja. Akibat pembiasan cahaya, imej yang terbentuk pada retina menjadi kurang jelas dan silau.
Rabun Silau juga ada kaitan dengan faktor usia. Usia lanjut, biasanya melebihi 50 tahun ke atas, akan menyebabkan kelopak mata tidak lagi kuat untuk menghasilkan tekanan berterusan ke atas permukaan kornea.
Punca Rabun Silau juga ada kaitan dengan operasi pembedahan pada mata yang boleh menghasilkan ulser, jangkitan atau inflamasi serta parut pada kornea.
Pembengkakan mata secara berterusan akibat ketumbit dan sebagainya juga boleh memberikan tekanan ke atas kornea. Tekanan tersebut akhirnya menyebabkan permukaan kornea menjadi tidak sekata.
Punca Rabun Jauh
Mata yang normal membolehkan cahaya masuk dan bertumpu pada retina. Bagaimanapun, bagi mereka yang rabun jauh, kerosakan alat pembias (refraktif) pada mata menyebabkan cahaya yang masuk ke dalam mata akan terfokus di depan retina, bukan tepat pada retina.
Masalah kesihatan mata jenis ini ada kaitan dengan pelbagai faktor, termasuk keturunan, bangsa, kekurangan zat makanan dan gaya hidup kurang sihat seperti kebiasaan menonton televisyen pada jarak dekat serta penggunaan gajet atau komputer untuk jangka masa lama.
Masalah ini juga ada kaitan dengan amalan membaca sambil baring atau membaca di dalam kawasan kurang terang.
Punca Rabun Dekat
Punca utama Rabun Dekat berkait rapat dengan faktor saiz bola mata. Bola mata yang terlalu pendek dan bentuk kornea yang kurang melengkung menyebabkan titik fokus berada di belakang retina.
Disamping itu, ia dipengaruhi oleh faktor keluarga atau genetik. Ya, Rabun Dekat boleh diwarisi dari keturunan terdahulu yang pernah menghidap masalah ini.
Ia juga berpunca daripada faktor usia. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas mempunyai kecenderungan tinggi untuk mengalami masalah Rabun Dekat.
Masalah mata ini juga boleh berlaku disebabkan oleh:
- Ketumbuhan sekitar mata.
- Diabetes.
- Masalah pembuluh darah di retina (foveal hypoplasia)
- Akibat ‘sindrom mata kecil’ yang dialami sejak lahir.
Punca Katarak
Katarak dikaitkan dengan pelbagai faktor, termasuk usia, kecederaan atau kemalangan, radiasi, baka, penyakit kulit dan amalan merokok.
Dari segi faktor usia, Katarak dikaitkan dengan penurunan kadar protein yang juga menyumbang kepada masalah sedia ada seperti diabetes dan hipertensi. Ini sekali gus memberi tekanan kepada kesihatan mata dan memungkinkan berlakunya Katarak.
Kecederaan pada mata pula boleh menyebabkan pembengkakan dan penebalan serta penembusan pada lensa mata yang lama kelamaan mewujudkan Katarak.
Keadaan yang sama boleh berlaku dengan ada faktor lain seperti radiasi, baka, penyakit kulit dan amalan merokok. Semua faktor ini akan memberi tekanan pada bahagian mata, sekali gus meningkatkan risiko menghidapi Katarak.
Punca Glaukoma
Glaukoma banyak dikaitkan dengan faktor aliran cecair keluar dari mata secara tidak lancar. Ini menyebabkan tekanan tinggi dalam mata, sekali gus merosakkan saraf optik.
Bagaimanapun, faktor aliran cecair dalam mata tidak semestinya menyebabkan Glaukoma. Malah, ada individu mengalami masalah mata berair dengan banyak tetapi tidak menghadapi masalah Glaukoma.
Masalah kesihatan ini banyak berkaitan dengan faktor sejarah keluarga, usia yang melebihi 40 tahun, diabetes, hipertensi dan masalah mata seperti rabun jauh.
Bagaimana Menjaga dan Merawat Mata
Penjagaan mata yang sihat sangat penting dalam menjamin kesejahteraan hidup. Jangan mempermudahkan penjagaan mata atas alasan ingin menjimatkan kos belanja bulanan. Kos penjagaan mata adalah berkali kali ganda lebih murah jika dibandingkan dengan kos rawatan.
Bahagian ini akan menyentuh bagaimana menjaga kesihatan mata atau merawat organ ini jika ia sedang menghadapi masalah berkaitan, termasuklah menerusi pemakanan dan latihan.
Makanan Yang Baik Untuk Mata
Makanan sihat bermaksud mengutamakan amalan pengambilan makanan berzat tinggi seperti buahan, sayuran, bijirin, susu, daging, ikan, kekacang dan telur.
Bagaimanapun, semua makanan berkenaan perlu dipastikan bebas daripada sebarang jenis partikel plastik, bahan kimia serta mengandungi tahap lemak, kolesterol, garam serta gula yang rendah.
Penyelidikan oleh Institut Kajian Mata Kebangsaan Berkaitan Usia di Amerika Syarikat mendapati pengambilan makanan yang menggabungkan unsur antioksidan berserta vitamin A, C dan E dan mineral mampu menurunkan risiko masalah penyakit mata.
Antara makanan berkenaan yang patut diambil untuk menjaga dan merawat mata ialah ikan salmon, bunga kubis, bayam, salad, buah teen, tomato, telur, kismis, bawang putih, avokado, lobak merah, delima dan biji bunga matahari.
Sesetengah orang mengamalkan pengambilan vitamin dan makanan tambahan untuk masalah rabun mata. Secara dasarnya, adalah lebih baik dan selamat jika anda dapatkan nasihat dari doktor mata terlebih dahulu. Elakkan dari pengambilan “penawar” rabun secara membuta tuli.
Senaman Mata
Masalah kesihatan mata juga, sebahagiannya, dapat diatasi menerusi aktiviti senaman mata. Ini termasuklah senaman mata untuk rabun jauh.
Ada sekurang-kurangnya tiga jenis senaman mata yang disyorkan oleh pakar kesihatan mata, iaitu:
Senaman Kelip Mata
Kajian menunjukkan senaman jenis ini dapat menyegarkan mata dan memberi tempoh tumpuan lebih lama. Caranya ialah dengan merehatkan mata atau memejamkan mata beberapa saat, kemudian berkelip untuk tempoh sekurang kurangnya dua minit.
Senaman Tapak Tangan
Senaman ini dapat mengurangkan rangsangan dan tekanan pada mata. Caranya ialah dengan duduk selesa di kerusi, kemudian gosokkan kedua-dua tangan kita sehingga terasa hangat lalu tutup kedua-dua mata menggunakan tapak tangan. Lakukan selama tiga minit dan ulang beberapa kali.
Senaman Fokus Objek
Senaman mata cara ini biasanya lebih mudah dilakukan. Caranya ialah dengan duduk atau berdiri dalam keadaan selesa, letakkan ibu jari kira-kira 25 sentimeter di depan mata dan fokus kepada ibu jari anda berkenaan.
Kemudian, fokus pula pada objek lain yang berada dalam jarak tiga hingga enam meter di hadapan anda. Lakukan selama tiga minit. Anda akan dapat merasakan kesannya.
Mudahnya Aafiyat
Satu tabiat buruk yang sering dilakukan dan patut dielakkan adalah perbuatan menggosok mata. Menggosok mata dengan kuat dan secara kerap boleh menyebabkan kerosakan mata yang kronik. Berhenti menggosok mata dan anda telah pun berjaya melakukan satu teknik penjagaan mata.
Mudah bukan?
Walau sesibuk mana pun, mahu tidak mahu, penjagaan mata mesti diutamakan dalam apa juga aktiviti kehidupan seharian.
Mudah-mudahan, menerusi penjagaan mata, masalah kesihatan mata seperti Katarak, Glaukoma dan Rabun Jauh serta pelbagai jenis rabun lagi, dapat dielakkan dan diatasi. Mata sihat, hidup sejahtera.
Rujukan:
https://www.glaucoma.org/treatment/cataracts-and-glaucoma.php
https://myslide.es/documents/glaukoma-aghni.html
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130326/kn_01/Glaukoma-curi-penglihatan
https://www.webmd.com/eye-health/astigmatism-eyes
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/farsightedness/symptoms-causes/syc-20372495