Persediaan Mental bakal Mommies Sebelum Bersalin
Mommies semua yang tengah ‘counting days’ tu dah sedia ke nak berperang di labour room? Mesti semua persediaan dah dibuat kan? Tapi… mungkin ada satu perkara yang mommies mungkin terlepas pandang dan ianya sangat penting!
Perkara yang selalu diabaikan semasa hamil adalah persediaan mental semasa mahu bersalin. Perkara lain yang biasanya lebih dirisaukan oleh wanita hamil adalah hospital pilihan, pakaian, mainan, katil bayi, kerusi tolak bayi, kerusi kereta dan lain-lain barang keperluan fizikal.
Namun, mommies semua sering terlepas pandang dengan satu perkara ni. Persediaan mental adalah antara latihan yang paling penting perlu dilakukan oleh wanita hamil jika mahu bersalin secara alami. Jadi, apakah persediaan mental yang perlu mommies semua sedia?
Jom ketahui lebih lanjut!
- Ilmu sebelum bersalin:
Ilmu adalah kekuatan. Mempelajari tentang proses bersalin, pilihan rawatan, dan cara mengelakkan serta mengatasi komplikasi boleh memberikan keyakinan kepada bakal ibu. Jadi, mommies bolehlah sertai kelas antenatal atau baca buku serta sumber-sumber yang boleh dipercayai sebagai persediaan untuk bersalin.
- Sertai komuniti dan berkongsi pengalaman:
Mommies boleh juga sertai komuniti secara online dan bertanyakan pengalaman bersalin daripada ibu-ibu yang lain. Bertukar pengalaman dan mendengar cerita-cerita positif dapat membantu mengurangkan kebimbangan dan memberikan sokongan emosional.
- Sokongan Emosi:
Jangan malu untuk meminta sokongan dari pasangan, keluarga, atau rakan-rakan. Beritahu mereka tentang perasaan anda dan apa yang anda perlukan untuk merasa lebih yakin dan tenang untuk melalui proses bersalin ini..
- Senaman dan Pemakanan Sihat:
Fizikal dan mental sangat berkait rapat. Pastikan anda menjaga kesihatan fizikal anda dengan senaman yang sesuai dan pemakanan yang seimbang. Ini dapat membantu meningkatkan kekuatan mental dan fizikal semasa proses bersalin.
5. Meditasi Bersalin
Latihan ini dapat melatih anda untuk mengenalpasti apa kekuatan dalaman anda dan bagaimana untuk melatih kekuatan dalaman supaya dapat dibuat semasa sedang sakit bersalin.
Antara rahsia kejayaan seseorang wanita dapat bersalin alami adalah kepercayaan pada diri sendiri serta keyakinan yang sangat tinggi pada Allah S.W.T. Percaya badan akan mampu dan kuat untuk lalui proses bersalin dengan mudah seperti yang telah Allah S.W.T kurniakan buat semua wanita. Yakin Allah S.W.T akan memberikan kekuatan untuk melahirkan bayi.
Tidak ada orang lain yang mampu untuk memberi keyakinan semasa bersalin melainkan Allah S.W.T. Emosi yang cukup positif dan keyakinan yang tinggi dapat membawa anda untuk menempuhi proses bersalin alami.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua. Kami doakan urusan mommies semua untuk bersalin dipermudahkan😊