
Puasa sebagai “Perisai” kepada pelbagai Jenis Penyakit
Ramadan menjelma lagi.
Kini, umat Islam di seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa sebagai tanda mentaati tuntutan syariat Rukun Islam.
Selepas lebih dua minggu Ramadan berlalu, maka perubahan pada fisiologi badan sudah mula dapat diadaptasi dan semakin serasi. Hikmah puasa boleh dijelaskan dari pelbagai sudut seperti kesihatan jasmani, kerohanian, sudut akhlak, sosial serta kemanusiaan.

Secara umumnya, tempoh berpuasa Ramadan ialah sekitar 14 hingga 16 jam sehari bergantung kepada negara di mana seseorang itu menetap. Dalam tempoh yang agak panjang pada siang hari, ini bukan menjadi alasan untuk umat Islam meninggalkan tanggungjawab seharian mereka untuk bekerja.
Oleh itu, persediaan tubuh badan untuk melalui fasa puasa pada siang hari perlu diambil perhatian. Ini bertujuan memastikan setiap individu akan kekal cergas dan tetap terus menumpukan ibadah ini sebagai satu bentuk latihan mujahadah dan ketaatan kepada Allah SWT.
Antara perubahan fisiologi yang agak ketara ialah penggunaan tenaga badan banyak menggunakan sumber karbohidrat. Ini diperoleh dari sumber makanan yang diambil pada waktu malam sebelum tidur dan ketika sahur. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50 peratus daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Di samping itu, badan kita sangat memerlukan pengambilan air mencukupi ketika tempoh berpuasa. Sekurang-kurangnya lapan gelas air harus diambil ketika luar waktu berpuasa. Ini perlu dilakukan ketika berbuka puasa, malam sebelum tidur dan ketika waktu sahur.
Sekiranya jumlah karbohidrat dan air tidak mencukupi, kita akan mudah berasa penat terutama bila menjelang waktu tengahari. Tubuh badan yang mempunyai air yang tidak mencukupi menyebabkan tanda-tanda dehidrasi seperti keletihan, tidak bermaya, kurang tumpuan pemikiran, kurang cergas dan lain-lain lagi. Dalam keadaan yang agak serius, juga boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.
Namun, badan juga mampu menggunakan sumber tenaga lain iaitu lemak. Sumber lemak berada dalam simpanan di hati atau di bahagian otot yang lain. Penggunaan sumber tenaga ini adalah penting kerana sepanjang tempoh berpuasa, kita tidak mengambil sebarang makanan atau minuman kecuali apa yang tersedia sewaktu sahur atau malam sebelumnya. Pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun juga sangat disarankan dalam membantu memberikan tenaga sepanjang tempoh berpuasa.
Justeru, secara sunnatullah sistem fisiologi badan mampu menjana tenaga untuk sel badan berfungsi dengan baik. Ketika berbuka puasa pula, sumber makanan dan minuman perlu diisi semula ke dalam badan. Ini bertujuan menggantikan sejumlah tenaga yang telah digunakan semasa berpuasa. Jika kita amati secara terperinci, setiap proses perubahan dan adaptasi oleh sistem tubuh badan ini sangat kompleks.
Mengapa puasa menjadikan tubuh badan kita sihat?
Puasa juga memberi kesempatan bagi sistem gastrointestinal atau pencernaan untuk berhenti seketika waktu siang. Dalam tempoh berpuasa, tiada tambahan makanan dan minuman baru yang diterima oleh sistem pencernaan. Jadi, sistem pencernaan manusia ini yang lazimnya memerlukan 7 hingga 8 jam untuk memproses makanan yang dimakan.

Dalam keadaan tidak berpuasa, sistem pencernaan seseorang akan bekerja terus tanpa henti. Buktinya ialah kita akan berasa letih sekiranya makanan yang diambil itu lebih dari hadnya. Untuk memastikan pencernaan makanan berfungsi dengan baik, tenaga diperlukan. Lebih banyak makanan atau minuman yang diambil, maka lebih lama masa dan lebih tenaga diperlukan supaya pencernaan itu sempurna. Pencernaan sempurna akan memastikan serapan nutrien dan air ke dalam sistem tubuh berlaku.
Jadi, makanan atau minuman boleh memberi kesan langsung kepada kadar penghadaman dan serapan nutrien yang sepatutnya. Justeru, puasa juga memberi peluang kepada kita untuk menjaga dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Ini bermula dengan pengambilan makanan dihadkan semasa siang hari di bulan Ramadan. Selain itu, kita juga dinasihatkan supaya mengambil makanan seimbang dan meminum air dengan secukupnya pada luar masa berpuasa.
Jika kita berjaya mengamalkan prinsip ini sepanjang bulan puasa, sudah hampir pasti berat badan akan berkurangan, tahap kolesterol bertambah baik, paras glukos dalam darah juga stabil dan fungsi ginjal akan menjadi lebih baik. Fakta tahap kesihatan semakin baik seperti ini mampu dicapai oleh setiap individu Muslim yang sangat berdisiplin dalam Ramadan. Ketidakseimbangan pengambilan makanan pula boleh mengundang penyakit dan kemudaratan.
Ramadan : Bulan melawan penyakit
Ramadan yang mulia ini juga terkenal sebagai bulan ‘terapi kesihatan’ kepada beberapa jenis penyakit. Antaranya ialah kepada perokok dan penghisap vape tegar. Mereka mampu untuk mengurangkan atau berhenti terus amalan yang membazir dan membahayakan kesihatan. Umum mengetahui, perokok tegar agak sukar untuk berhenti akibat kesan ketagihan terhadap nikotin, namun ketagihan itu lebih bersifat psikologi.
Ini bermakna ketagihan merokok ini boleh dirawat dengan sifat keazaman mental yang kuat dan menghindarkan diri daripada pengaruh sekitar seperti rakan perokok lain atau penghisap vape. Banyak bukti perubatan bahaya merokok, dan kempen berhenti merokok dan vape juga sudah terlalu lama dijalankan. Namun, keberkesanannya belum lagi optimum. Penyakit kerosakan kepada sistem paru-paru, batuk yang kronik dan kanser paru-paru antara sebahagian penyakit akibat merokok.
Justeru, objektif puasa dengan menahan lapar, dahaga serta mengelakkan perkara yang membatalkan puasa itu sangat sesuai untuk menghentikan nafsu merokok yang saban hari dikaitkan dengan komplikasi kesihatan yang serius. Atas penjelasan ilmiah ini, puasa boleh dijadikan satu daripada bentuk terapi kesihatan kepada pelbagai penyakit. Amalan puasa ini boleh terus dilakukan juga di luar Ramadan.
Kita yakin hikmah puasa bukan sahaja mampu meningkatkan iman kepada pengamalnya. Pelbagai kebaikan kesihatan juga akan turut dirasai. Perubahan fisiologi badan berlaku pada fasa awal puasa menunjukkan sistem tubuh badan kita mampu berfungsi secara normal. Segala sel, otot dan fungsi organ tubuh terbabit secara langsung ketika perubahan fisiologi ini. Selepas berakhir separuh Ramadan, pengamalnya akan berasa badan semakin ‘ringan’ kerana sebahagian lemak tersimpan dalam otot dan hati digunakan sebagai sumber tenaga.
Jumlah makanan yang diambil ketika bersahur juga semakin berkurangan kerana badan sudah serasi dan beradaptasi untuk terus berpuasa. Pada sesetengah atlet, mereka akan turut berlatih sepanjang puasa, cuma corak latihan dikurangkan. Seperti yang dibincangkan, hikmah puasa itu sangat luas dan boleh dijadikan satu daripada bentuk intervensi serta pencegahan penyakit. Amalan puasa ini boleh terus dilakukan juga di luar bulan Ramadan.