Selamat Menyambut Hari Lebah Sedunia
Sambutan hari lebah sedunia diadakan pada tanggal 20hb Mei setiap tahun di seluruh dunia. Hari khas ini diwujudkan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan serangga kecil ini dalam pendebungaan dan keseimbangan ekosistem kita. Lebah yang dimaksudkan di sini adalah seperti lebah madu (Apis sp.), lebah kelulut (Meliponini) dan ratusan lebah penyendiri yang lain (tidak berkoloni/solitary bees).
Maskot lebah pastinya tergambar di fikiran kita adalah lebah madu berbelang oren dan hitam serta bersengat. Lebah madu khasnya lebah madu Eropah (Apis Melllifera) merupakan lebah utama dalam penghasilan madu komersial di seluruh dunia hampir 90-97% monopoli pasaran.
Tapi tahukah ands semua, rantau Asia Tenggara khasnya negara kita dan negara jiran Indonesia merupakan wilayah kepada lebah madu?
Dari 7 spesis lebah madu yang ada di muka bumi ini, 5 daripadanya boleh didapati di Malaysia dan Indonesia dan satu khas hanya di kepulauan Sulawesi iaitu lebah Apis Nigrocincta. Manakala lebah Apis Laboriosa (Himalaya), Nuluensis (Borneo) dan Karinjodia (India) masih tergolong bawah subspesis.
Ini 5 nama lebah madu yang boleh didapati di negara kita:
1) Lebah Apis Florea (lebah lalat merah)
2) Lebah Apis Andreniformis (lebah lalat hitam)
3) Lebah Apis Cerana (lebah kampung)
4) Lebah Apis Koshevnikovi (lebah merah/kuning)
5) Lebah Apis Dorsata (lebah tualang)
Perhatikan ke sekeliling kita, anda pasti tau perbezaan dan rasai kehadiran mereka. Ya mereka kesemua bersengat dan hanya akan menyerang apabila rasa terancam. Tapi usah risau madu yang dihasilkan mereka adalah penawarnya kerana madu bersifat anti-radang dan anti-bakteria. Jika tersengat lebah cepat sapu madu ya. Jika memudarat sila berjumpa doktor, anda mungkin alahan pada sengatan lebah.
Ingat lebah madu bukan makhluk perosak. Kehadiran mereka penting dalam ekosistem kita. Mereka mendebunga sekecil-kecil bunga rumput di tepi jalan, bungaan, pelbagai buah-buahan serta sayuran yang kita makan. Bahkan mereka memberi madu yang terdapat 1001 penawar dan kebaikan sehingga disebut dalam Al-Quran dan hadis.
Jika kehadiran lebah betul-betul menggangu dan mengancam keselamatan anda dan keluarga, hubungi pihak yang sewajarnya seperti bomba, Mybeesavior (sukarelawan penyelamat lebah) dan JPAM. Jangan bunuh, spray racun perosak dan bakar sarang mereka!
Oleh: Fizzal Jono