Kes HFMD di Malaysia MENINGKAT! Awas, Para Ibu Bapa Ambil Tahu Simptom dan Cara Mencegahnya!
Penularan penyakit berjangkit HFMD atau penyakit tangan, kaki dan mulut di Malaysia ini semakin membimbangkan! Kes meningkat di setiap negeri dan kebanyakkannya merebak dari tadika-tadika dan tempat asuhan anak-anak.
Seperti yang sedia maklum penyakit HFMD ini sering menyerang kanak-kanak, malah mengikut statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) hampir 95.4% kes ini berjangkit kepada kanak-kanak berumur 0 hingga 6 tahun, manakala 3.8% kanak-kanak dari 7 hingga 12 tahun dan selebihnya kanak-kanak lebih 12 tahun.
Apa Itu Penyakit HFMD?
Hand-foot-and-mouth-disease atau HFMD, adalah jangkitan virus ringan yang mudah merebak kepada anak kecil, dikenali sebagai virus coxsackie. Penyakit tangan, kaki, dan mulut atau HFMD ini kebiasaanya akan menyebabkan tekak dan tonsil akan membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan lampin pula akan dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Anda juga boleh perasan dengan kewujudan ketulan berair pada punggung dan kaki.
Penyakit HFMD ini juga boleh merebak melalui batuk, bersin atau sentuhan terus kepada ketulan berair tersebut. Malah jangkitan virus dan penyakit HFMD ini juga tersebar melalui najis dan air liur. Hati-hati para ibu bapa!
Bagaimana Nak Tahu Anak Terkena Jangkitan HFMD?
Antara gejala kebiasaanya untuk penyakit tangan, kaki dan mulut HFMD ini ialah:
- Demam
- Sakit tekak
- Terdapat gelembung(blister) kemerah-merahan pada lidah, gusi dan bahagian pipi.
- Ruam merah yang tidak gatal tetapi ada kalanya melepuh pada tapak tangan, kaki dan punggung
- Bayi dan kanak-kanak terasa merengsa
- Hilang selera makanÂ
Apakah Cara Merawat Penyakit HFMD dan Cara Mencegahnya?
Disebabkan penyakit HFMD ini ialah sejenis virus, oleh itu ia tidak boleh dirawat melalui antibiotik. Selain daripada ubat-ubatan dari doktor dan klinik terdapat cara untuk merawat penyakit HFMD ini iaitu:
- Pastikan pengambilan cecair yang cukup buat anak-anak. Boleh berikan air, susu, jus epal atau aiskrim popsicle.
- Elakkan dari memberi jus buah yang tinggi kandungan asid bagi mengelakkan lebih merengsa luka di dalam mulut
- Teruskan pemberian susu ibu atau susu formula.
- Hidangkan anak-anak dengan makanan yang mudah ditelan seperti kentang lenyek, oat dan telur.
Apakah Pula Cara Untuk Mencegah Penyakit HFMD Ini?
Disebabkan tiada vaksin ataupun rawatan yang spesifik bagi merawat penyakit HFMD ini, terdapat pelbagai cara bagi mengelakkan penularan penyakit HFMD ini iaitu:
- Ajar anak untuk tidak menyentuh ruam.
- Elakkan dari tabiat buruk anak suka memasukkan mainan dan jari di dalam mulut.
- Sentiasa mengamalkan kebersihan dengan kerap bersihkan tangan
- Ajar anak untuk bersin ke tisu ataupun lengan baju untuk menutupi atau melindungi bersin.
- Sentiasa cuci dan disinfeksi tandas, alat permainan anak-anak mahupun barang yang kerap disentuh anak.
- Elakkan dari berkongsi pinggan, cawan dan barangan peribadi seperti tuala, baju dan berus gigi.
- Cuba elakkan dari mencium dan memeluk anak yang telah dijangkiti
Ibu bapa harus lebih cakna dan ambil langkah pencegahan lebih awal supaya penularan penyakit HFMD ini dapat dikawal. Semoga kita dan anak-anak sentiasa dilindungi dari penyakit berjangkit ini!
Sumber: Hello Doktor & Harian MetroÂ