Tawakkal Tak Sempurna Tanpa Usaha
Setiap manusia punya jalan hidup yang berbeza-beza. Mungkin jalan hidup dia nampak indah, tapi disebaliknya kita tak tahu keperitan yang dia hadapi. Ada juga orang yang hidupnya nampak susah dan berliku, tapi sebaliknya berjuta nikmat yang dia syukuri.
Hidup ini kadang kala kita rasa terlalu mencabar untuk kita redah. Bila diri dah mula ada rasa ‘fedup’, kita akan cakap pada diri, “Kita tawakkal saja lah pada Allah. Aku malas nak ambil tahu dah”.
Persoalannya, boleh ke tawakkal tanpa usaha?
Pertama sekali, kita kena faham apa sebenarnya maksud tawakkal. Tawakkal ialah ‘wakala’ atau disebut “wikala” dalam bahasa Arab. Maksudnya,memperlihatkan ketidakmampuan dan bersandar atau pasrah kepada yang lain.
Dengan kata lain, tawakal adalah membebaskan diri daripada segala ketergantungan selain Allah dan menyerahkan keputusan atas segala sesuatu hanya kepada Allah.”
Umat Islam perlu memahami bahawa konsep tawakal bukan bererti hanya pasrah menyerah. Ia juga bukan pula meninggalkan usaha dan hanya bergantung kepada Allah semata-mata.
Justeru dalam tawakal kepada Allah, ia terbahagi kepada dua tahap.
Tahap pertama adalah usaha dan kerja. Ini kita harus mengikut mekanisme alam atau disebut dengan sunatullah.
Yang kedua adalah ketika kita menunggu hasil usaha dan kerja tersebut, di sinilah kita mula pasrah kepada Allah dengan sepenuh hati serta meyakini bahawa apa pun hasil daripada upaya kita itu semuanya tidak terlepas daripada taufik dan kehendak Allah swt.
Dengan kata lain, tawakkal dan ikhtiar tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Tawakkal adalah berusaha sedaya upaya semaksimum mungkin dan kemudian barulah bertawakal kepada Allah swt.
Jadi, ayuh kita terus berusaha dengan sepenuh hati, sambil bertawakkal kepada Allah dalam setiap langkah kita. Dengan menyatukan usaha dan keyakinan kepada-Nya, kita akan mampu mengharungi setiap cabaran kehidupan dengan ketenangan dan keikhlasan.
Semoga Allah memberikan petunjuk dan kekuatan kepada kita semua😊
Sumber: Berita Harian Singapura