Tidur Ketika Khutbah Jumaat Batal Wudhuk?
Korang biasa tak nampak orang tidur waktu khutbah jumaat? Situasi ni menyebabkan ramai yang tertanya-tanya, boleh terbatal ke wudhuk seseorang tu kalau mereka tidur?
Jom kami kongsikan jawapan berdasarkan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan:
Jika seseorang itu tidur ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tetap papan punggungnya, maka wudhuknya tidak batal.
Tapi, jika dia tidur ketika khutbah Jumaat sehingga terangkat punggungnya yang berpotensi untuk angin keluar dari duburnya maka dia perlu berwudhuk terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Jumaat.
Bahkan, menurut mazhab al-syafie, jika dia tidur (terlelap sehingga berkemungkinan bermimpi) bersandar melalui tengkuk belakang juga boleh membatalkan wudhuknya walaupun tetap papan punggungnya di lantai.
Namun, jika dia tidak mengetahui sama ada wudhuknya telah batal atau tidak, sebaiknya ambillah semula wudhuk sebagai langkah berhati-hati untuk lebih yakin.
Ulama fiqh telah meletakkan beberapa syarat yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam. Dalam al-Taqrirat al-Sadidah, Syeikh Hasan al-Kaf menyebutkan bahawa terdapat empat syarat bagi tidur yang tidak membatalkan wudhuk, iaitu:
- Kedudukan tidur duduk yang tetap kedua punggungnya di atas permukaan lantai sekira-kira tidak ada potensi keluarnya angin.
- Mestilah mempunyai bentuk badan yang ideal iaitu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.
- Bangun daripada tidur dalam posisi yang sama.
- Tidak ada orang yang maksum memberitahunya bahawa dia kentut ketika tidur menurut al-Ramli dan menurut Ibn Hajar cukup orang yang adil memberitahunya.
Oleh itu, bagi permasalahan ini dapat dijelaskan dalam dua bentuk situasi seperti di bawah:
Situasi 1:
Sekiranya seseorang yang tidur ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tetap papan punggungnya maka hal tersebut tidak membatalkan wudhuknya.
Situasi 2:
Sekiranya seseorang yang tidur ketika mendengar khutbah Jumaat dalam keadaan duduk yang tidak tetap papan punggungnya sehingga berpotensi untuk angin keluar daripada duburnya maka keadaan tersebut membatalkan wudhuknya. Namun, jika dia tidur bersandar melalui tengkuk belakang juga boleh membatalkan wuduk walaupun tetap papan punggungnya di lantai menurut mazhab al-Syafie.
Semoga penjelasan ini menjawab persoalan anda semua!😊