“Walau kamu tak dapat A dalam pelajaran, dapatkan A dalam kehidupan. A paling besar adalah Allah”
Tadi masa teman isteri ke klinik, dan saya bawa dia bertenang di sebuah cafe.
Kami minum-minum dan makan.
Dan saya bagitahu isteri yang minggu lepas dan minggu ni, ada dua IPT nak jemput saya untuk bagi perkongsian tentang pengalaman dalam bisnes komputer.
Cuma bila mereka bertanya dan minta resume, maka mereka hampa kerana saya tidak ada SPM dan apa-apa kelayakan dari univerisiti.
“Encik Abu, saya cuma mampu tolong setakat ini cuma pihak atasan saya tidak mahu. Mereka mahu yang berkelayakan saja. Saya cadangkan kerana bekas pelajar saya semua berjaya buka bisnes hasil dari perkongsian tuan di grup telegram mereka”
“Oh tak mengapa. Saya faham. Ada rezeki lain nanti”
Pihak satu lagi juga batalkan kerana saya tiada sijil atau apa-apa kelayakan.
Benar.
Saya tidak malu untuk memperkenalkan diri sebagai seorang yang tidak berpelajaran.
Saya hanya ada sijil UPSR. Kemudian, berhenti di tingkatan dua kerana saranan guru kelas sendiri.
Masih ingat guru kelas jumpa ayah saya, minta keluarkan saya dari sekolah masa tu. Katanya saya tiada masa depan. Pelajaran sangat “out”.
Apa pun tak masuk. Keputusan peperiksaan yang boleh dibanggakan hanya Bahasa Melayu, dan Pendidikan Islam saja ada A. Lain semua B,D,C malah E.
Saya takkan lupakan wajah ayah yang kecewa masa bawa saya pulang. Bergenang airmatanya menahan sebak.
Dia pelajar yang bagus dan baik. Ayah power matematik. Ayah pandai dalam pelajaran. Sampai masuk universiti. Sebab tu ayah adalah menjadi pegawai kerajaan yang terbaik. Pusing dunia dengan kemahiran dan sijil-sijilnya.
Namun anak lelaki sulungnya adalah yang paling teruk sekali.
Mak juga menangis siang malam mengenangkan saya. Sebab entah bagaimana masa depan saya. Nak jadi apa. Nak jadi apa. Nak jadi apa!!!!!
Satu malam, mak cerita dia bangun tahajud, dalam dalam doa dan airmata mak berkata kepada Allah.
“Wahai Tuhan, aku ingin jual anak aku ini kepada Engkau. Engkau lakukanlah dan bawalah dia melalui setiap langkah. Moga nanti kalau dia bukan anak yang pandai dalam pelajaran, tapi dia adalah anak yang kalau diuji, maka Tuhan lah yang pertama dia akan pegang dalam hidup ini”
Maka,
Bermula dari itulah saya masuk sekolah agama swasta dulu.
Habis sekolah agama tu, mak ayah masukkan saya dalam SKM (Sijil Kemahiran Malaysia). Harapan mak saya belajar kemahiran.
Dan alhamdulillah. Saya lulus sampai tahap 5 di Sekolah Masakan Malaysia ( sekarang akademi KFC Malaysia).
Habis tu, pusing satu malaysia bekerja sebagai chef dan akhirnya paling saya tidak pernah mimpi, diberikan tawaran menjadi pengurus restoran di Boa,Perancis dan Manchester, London.
Habis semua tu, pulang ke Malaysia masuk pula bidang electronic ni.
Sebab minat sangat, alhamdulilah sampailah dapat buka kedai di Plaza Imbi dan bekerjasam dengan Bit Bytes Plaza Lowyat.
Dan sampai ke saat ini, saya tak boleh dengar kalau ada ibu ayah susah nak dapatkan laptop komputer anak sambung belajar.
Sebab bagi saya, pelajaran dan pendidikan adalah perkara dan benda paling utama. Samada SPM, atau apa saja peperiksaan semua itu sangat penting.
Kalau dijemput untuk berkongsi dan bercakap dalam motivasi sekolah, maka sebagai pelajar, belajarlah. Jangan jadikan kesusahan sebagai halangan. Susah macamanapun, pasti akan dibantu Tuhan.
Hari ini,
Saya menjadi Abu Hurairah Roslan yang sedia untuk berkhidmat.
Saya adalah speaker The Solusi, page rumahtangga dan kehidupan bersama sahabat baik. Diberikan peluang menguruskan ratusan sesi nasihat dan syukur, dengan izin Allah telah membantu mereka yang diuji untuk kembali menjadi suami isteri.
Saya adalah pembaiki dan penjual komputer laptop di Abu Hurairah Resources. Tidak pakar namun kalau rosak insyaAllah tidak akan biar.
Saya juga adalah chef dengan kepakaran tahap 5 untuk masakan melayu dan masakan panas untuk lebih 10 restoran, Semenanjung Malaysia, Sabah Sarawak, Perancis dan London.
Saya juga adalah speaker dan performer untuk kebudayaan islam seperti nasyid, dan teater. Penulis lirik, skrip teater dan pengarah teater yang telah ke peringkat kebangsaan dan bersama dalam pekan teater Malaysia selama 10 tahun.
Demi Allah, bukanlah menulis semua ni kerana mahu bercakap besar.
Hanya mahu memberitahu, inilah yang saya ada sebagai seorang yang kalian mahu jika khidmat saya diperlukan.
Pesan paling akhir seorang guru pada saya, bila saya tanya saya nak jadi apa kalau saya tiada apa-apa sijil dan kelayakan, pesannya dua sahaja.
“Walau kamu tak dapat A dalam pelajaran, dapatkan A dalam kehidupan. A paling besar adalah Allah”
“Buat sahaja yang paling baik. Dunia akan datang kepada kamu. Buatlah kerana Tuhan. Tuhan akan berikan dunia itu di tangan”
Kredit: Abu Hurairah Roslan