
Awas! Ini adalah tanda-tanda serangan jantung
Sakit datang tanpa diundang tak kira usia tua atau muda. Bayi, dewasa bahkan warga emas sekalipun semuanya berisiko untuk mendapat serangan jantung. Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling kita untuk mengelak daripada menjadi mangsa penyakit jantung. Bila bercakap tentang serangan jantung, tak semua orang tahu apa istilah, punca dan simptom-simptomnya.
Istilah perubatan untuk serangan jantung adalah Infarksi Miokardium, yang berlaku apabila aliran darah ke jantung berkurangan atau tersumbat. Sumbatan ini boleh berlaku akibat lemak yang berkumpul lama dalam dinding arteri, yang berfungsi untuk mengalirkan darah ke jantung secara normal. Lama-kelamaan, ia akan menyebabkan kekurangan bekalan oksigen pada otot jantung. Jika tidak dirawat, tisu jantung yang terjejas boleh mati.
Untuk pengetahuan anda, pesakit mungkin tidak akan menunjukkan tanda atau simptom sebelum mendapat serangan jantung, tetapi mungkin mengalami sakit dada. Apa-apa tanda bahaya yang mungkin menandakan Serangan Jantung hendaklah dikesan agar kita dapat mencegah serangan yang boleh menyebabkan kematian.
PUNCA-PUNCA BERLAKU SERANGAN JANTUNG
Serangan jantung dikaitkan dengan faktor-faktor risiko boleh ubah suai, dan tidak boleh diubah suai.
Faktor risiko boleh ubah suai adalah:
– Faktor-faktor gaya hidup seperti merokok, kurang bersenam dan diet yang tidak seimbang
– Penyakit yang boleh dirawat termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes
Faktor risiko tidak boleh diubah suai:
– Faktor umur, etnik, sejarah keluarga bagi penyakit ini, dan jantina di mana lelaki adalah 3 hingga 5 kali lebih mudah mendapat serangan jantung berbanding dengan wanita.
-Menopaus (kehilangan estrogen semula jadi yang mempengaruhi risiko wanita mendapat penyakit jantung)
SIMPTOM-SIMPTOM SERANGAN JANTUNG
Jika anda mengalami Serangan Jantung, anda mungkin menunjukkan simptom seperti:
– Rasa sejuk dan berpeluh
– Peluh sejuk
– Pening
– Loya
– Sakit yang merebak daripada dada kepada leher, lengan, bahu, atau rahang
– Sakit dada teruk yang berpanjangan (sensasi berat dan menekan)
– Sesak nafas
– Nadi lemah
Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada penyakit 🙂