Highway Hypnosis: Bahaya Dibuai Kelajuan
Pernah tak anda memandu di lebuh raya dan melihat papan tanda yang menyatakan destinasi anda 90 kilometer lagi. Selang beberapa ketika, anda melihat papan tanda lain yang menyatakan hanya tinggal 30km lagi. Aik, tiba-tiba dah sampai?
Anda pun tak perasan yang anda dah memandu sejauh 60km, tetapi mengapa anda tidak merasa seperti telah memandu sejauh itu?
Ini adalah salah satu daripada banyak contoh mengenai Highway Hypnosis.
Highway Hypnosis, atau juga dikenali sebagai “demam garis putih” adalah keadaan mental seseorang apabila memandu dalam jarak yang jauh.
Otak kita bertindak balas dengan betul dan selamat terhadap persekitarannya, tetapi kita tidak mempunyai ingatan dan tanpa kesedaran dengan perkara tersebut. Dalam erti kata lain, kita memandu seperti dalam mod autopilot.
Fenomena aneh ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Kebanyakan pemandu sering mendapati diri mereka terjebak dalam keadaan seperti ini apabila mereka memandu di laluan yang biasa atau membosankan, selalunya untuk pergi bekerja.
Semuanya telah menjadi rutin dan anda telah menghafal semua selekoh yang perlu diambil dan tol yang perlu dilalui, menjadikan anda kurang berjaga-jaga di jalan raya.
Jalan yang sifatnya “monoton” atau lebih dikenali sebagai jalan yang membosankan yang nampaknya memainkan peranan besar dalam mencetuskan Highway Hypnosis.
Apabila perjalanan anda membosankan, ia memperlahankan otak anda dan secara tidak sedar meletakkan anda dalam mod autopilot.
Apabila anda memandu atau menatap jalan yang sama untuk jangka masa yang lama, otak anda mula memberi kurang perhatian kepada rangsangan visual.
Selain itu, anda juga berkemungkinan mengalami Highway Hypnosis apabila anda dalam keadaan penat.
Kelesuan itu sendiri sudah berbahaya bagi seseorang untuk memandu, tetapi apabila digabungkan dengan jalan yang panjang, anda akan memandu dalam keadaan kurang sedar.
Keletihan hanya akan bertambah buruk jika anda terus memandu. Semakin anda mengantuk, semakin berkemungkinan anda akan mengalami Highway Hypnosis dan mungkin akan menyebabkan anda “microsleep”.
Jadi, macam mana nak tangani Highway Hypnosis ni?
1. Berehat sejenak
Kalau mengantuk, jangan memandu dalam jangka masa yang lama tanpa henti. Sebaliknya, berehat di kawasan Rehat & Rawat (R&R) setiap sejam atau dua jam, sekurang-kurangnya selama 15 minit di R&R.
Ini membolehkan anda mendapatkan udara segar dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, serta tidur sejenak untuk mengembalikan tenaga.
2. Makan snek atau minum kafein
Kalau anda mula merasa mengantuk semasa memandu, makan snek boleh membantu anda tetap terjaga dan memberikan tenaga tambahan untuk tubuh anda.
Perlu diingat, makanan segera yang tinggi karbohidrat atau gula harus dielakkan kerana ia mungkin membuat anda merasa lembap dari masa ke masa.
Kafein juga berfungsi sebagai penggalak tenaga dan membantu menyegarkan mata anda untuk memandu.
Apa pun snek atau minuman pilihan anda, pastikan ia tidak terlalu mengganggu atau sukar untuk dimakan.
3. Berbual atau menyanyi
Jika anda ada penumpang, berbual dengan mereka boleh membantu otak anda kekal aktif.
Kalau bersendirian, boleh juga hubungi rakan untuk menemani anda tapi guna bluetooth la, jangan pegang phone pula.
Atau jika anda lebih suka bersendirian, menyanyi juga merupakan kaedah yang terbukti untuk meningkatkan mood anda!
Kesimpulannya…
Pasti kita pernah mengalami Highway Hypnosis ni sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kita, dan kita biasanya hanya menyedarinya selepas kejadian.
Tetapi, walaupun fenomena ini mungkin kelihatan biasa, ia kadang-kadang menjadi berbahaya kalau anda tidak fokus kepada persekitaran semasa memandu.
Pandulah dengan selamat!
Oleh: Azizul Farhan