Kenapa Ada Antara Kita Tak Boleh Hadam Susu?
Cerita tentang susu ni, mesti ada antara kita yang memang tak boleh hadam susu, apatah lagi makan bahan tenusu macam keju. Mereka ini biasa dipanggil sebagai ‘lactose intolerance’. Tapi, yang sebenarnya manusia sejak azali memang tak boleh hadam susu!
Jadi, kenapa bayi boleh hadam susu walaupun badan kita memang tak boleh hadam? Penghadaman usus kecil bayi sebenarnya berbeza dengan usus kecil dewasa begitu berbeza.
Masa bayi usus kecilnya mempunyai enzim lactase. Enzim ini dikhaskan untuk memecahkan kadungan dalam susu. Susu ada gula bernama lactose dan perlu dipecahkan apabila masuk dalam usus kecil. Jadi, enzim lactase dihasilkan untuk pecahkan lactose ini. Apabila membesar, susu ibu tidak lagi diperlukan jadi enzim lactase terus hilang.
Sebab itulah ada golongan ‘lactose intolerance’ yang apabila meminum susu akan terjadi cirit-birit, muntah, dan demam. Ini disebabkan usus kecil gagal hasilkan enzim lactase.
Lactose yang tidak dipecahkan dalam usus kecil dialirkan terus ke usus besar bersama bahan buangan yang terdiri dari bakteria dan organisma lain. Tindak balas bakteria ke atas susu inilah menyebabkan kita akan merasa sakit perut, cirit birit, dan keluarkan gas kentut yang tak enak.
Tapi, kenapa kebanyakan kita tiada masalah kesihatan selepas minum susu? Adakah kita ialah ‘manusia terpilih’? Hah, sebenarnya keupayaan manusia menghadam susu berlaku sejak zaman nenek moyang lagi.
Sejak aktiviti penternakan haiwan menjadi sebahagian hidup nenek moyang kita, susu menjadi minuman yang amat diperlukan apabila kebuluran. Mereka yang ‘lactose intolerance’ akan mati awal sebab tidak berupaya menghadam zat dari susu.
Jadi, mereka wajib meminum susu untuk mengelakkan kebuluran. Kemudian lahir generasi-generasi seterusnya yang mampu menghadam susu tanpa masalah. Tapi, memakan masa juga kerana sistem pencernaan perlu berevolusi selama 5,000 hingga 10,000 tahun usus kecil sehingga menghasilkan enzim lactase.
Inilah sebabnya kenapa ada kalangan kita yang ‘lactose intolerance’ dan majoriti dari kita tiada masalah meminum susu. Boleh katakan susu ialah ‘racun’ yang menjadikan manusia beradaptasi untuk menghadamnya.
Oleh: Dinie Liow (Dans)