Kenapa Populasi Malaysia Masih Alami Kekurangan Vitamin D Walaupun Malaysia Ada Banyak Cahaya Matahari?
Tahukah anda, bahawa masalah kekurangan vitamin D adalah suatu masalah yang biasa dalam kalangan rakyat Malaysia? Keadaan ini agak mengejutkan kerana Malaysia adalah sebuah negara tropika yang dilimpahi cahaya matahari hampir sepanjang tahun. Dan, sumber vitamin D yang paling mudah untuk diperoleh adalah melalui sinaran cahaya matahari. Jadi, apa sebenarnya yang menjadi penyebab utama kekurangan vitamin D dalam kalangan rakyat Malaysia ini?
Sebelum kita huraikan tentang faktor penyebab masalah ini, mari kita kupas dahulu tentang vitamin D ini. Secara mudahnya, vitamin D ini adalah vitamin yang larut lemak, dan terbahagi kepada dua jenis yang utama, iaitu ergocalciferol (vitamin D2) dan cholecalciferol (vitamin D3).
Kenapa vitamin D ini penting buat manusia? Vitamin D ini berperanan penting dalam pembentukan serta penjagaan tulang yang kuat bersama dengan kalsium. Vitamin D inilah yang akan bantu penyerapan kalsium serta kekalkan kepekatan fosfat dan kalsium yang mencukupi dalam darah supaya tulang kita dapat dibentuk.
Jadi, dari mana sumber untuk kita peroleh vitamin D ini? Sumber yang paling mudah dan percuma, terutamanya bagi kita di Malaysia ini adalah daripada cahaya matahari. Jika anda nak tahu, sinar UVB daripada matahari boleh menembusi kulit dan seterusnya menukarkan provitamin D3 yang ada dalam kulit kita ini kepada vitamin D3. Ada kajian yang menyatakan bahawa jika seseorang terdedah kepada cahaya matahari selama 5 hingga 30 minit, sekurang-kurangnya dua kali seminggu, ia cukup untuk membekalkan keperluan vitamin D kepada badan kita.
Bagi sumber makanan pula, vitamin D ini boleh diperoleh dalam ikan seperti ikan salmon, makarel, tuna dan sardin serta kuning telur. Tetapi, ia paling banyak terdapat dalam minyak ikan. Sayur-sayuran pula hanya mengandungi sumber vitamin D dalam kuantiti yang sedikit berbanding sumber minyak ikan tadi.
Sekarang kita lihat pula faktor yang membuatkan kadar kekurangan vitamin D ini adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai penyelidik cuba mencari punca serta faktor yang bawa situasi kekurangan vitamin D ini. Secara asasnya, vitamin D ini bolehlah dikategorikan sebagai vitamin yang tidak memerlukan kepada bahan makanan sebagai sumber utamanya. Maksudnya, cahaya matahari sahaja sudah mencukupi sebagai sumber yang menambah kepada vitamin D.
Namun, ada beberapa penyelidikan yang dibuat mendapati bahawa komuniti Malaysia amat terkenal dengan amalan mengelak daripada cahaya matahari. Kajian perbandingan antara Kuala Lumpur dan Aberdeen menunjukkan bahawa pendedahan UVB dalam kalangan orang Asia yang tinggal di Aberdeen adalah lebih tinggi berbanding orang di Malaysia walaupun kita terdedah kepada UVB yang menjadi sumber utama vitamin D di Kuala Lumpur hampir sepanjang tahun.
Dalam satu kajian berasingan, para penyelidik membuat perbandingan status vitamin D yang dialami individu ketika musim monsun dengan musim bukan monsun di Malaysia. Ini kerana, musim monsun dengan hujan lebat boleh mengurangkan pendedahan terhadap cahaya matahari. Apa yang mengejutkan, hasil kajian ini mendapati bahawa tiada perbezaan yang signifikan dalam status vitamin D individu pada musim monsun dan bukan monsun. Ini bermakna, ada faktor-faktor tambahan lain juga yang membawa kepada masalah kekurangan vitamin D di Malaysia ini.
Apabila dilihat daripada faktor diet, vitamin D boleh diperoleh dengan mengambil makanan yang secara semula jadi mengandungi vitamin D, makanan yang diperkaya, atau makanan tambahan. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan diet Malaysia, pilihan makanan semula jadi yang mengandungi vitamin D adalah terhad. Selain itu, susu yang diperkaya vitamin D di Malaysia pula kebanyakannya hanya terhad kepada kanak-kanak sahaja. Malah, Malaysian Adult Nutrition Survey turut melaporkan yang hanya 24% orang dewasa di Malaysia yang minum susu pada setiap hari, dan hanya 20% daripada mereka mengambil suplemen vitamin D.
Dalam menangani isu ini, semua pihak harus menetapkan satu peraturan khusus untuk menjadikan kandungan vitamin D dalam jadual komposisi makanan Malaysia sebagai suatu perkara wajib. Pendedahan terhadap kepentingan diet tinggi vitamin D serta faedah cahaya matahari terhadap badan juga harus dikukuhkan terhadap semua lapisan masyarakat.
Oleh: Farahi Kamaruddin