5 Khasiat Minyak Zaitun Untuk Ibu Hamil
Minyak Zaitun terkenal dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan. Ibu yang sedang hamil, seharusnya memerlukan sesuatu yang dapat menjaga tahap kesihatan mereka. Artikel hari ini akan memberi penerangan tentang 5 Khasiat Minyak Zaitun untuk Ibu Hamil.
Sebelum kita terus kepada topik khasiat minyak zaitun, ada baiknya kita kenali minyak zaitun secara ringkas terlebih dahulu.
Pelbagai Jenis Minyak Zaitun
Dua jenis minyak zaitun yang mungkin anda biasa dengar adalah Minyak Zaitun “Virgin” dan juga “Extra Virgin”.
Selain dari itu, ada juga Minyak Zaitun Pomace dan Minyak Zaitun “Refined”.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Minyak Zaitun, anda boleh baca artikel ini.
Baiklah, sekarang ayuh kita berbicara mengenai topik utama, iaitu, 5 Khasiat Minyak Zaitun Untuk Ibu Hamil.
Minyak Zaitun Mengurangkan Risiko Diabetes Semasa Hamil.
Satu kajian terkawal telah di lakukan di Hospital Clínico San Carlos (HCSC), Madrid, Sepanyol. Lebih kurang 800 ibu hamil diberikan diet Mediterranean beserta Minyak Zaitun Extra Virgin sebagai makanan tambahan. Dari kajian tersebut, satu rumusan tentang Diabetes Semasa Hamil telah terhasil.
Ringkasnya, ibu hamil yang diberikan diet Mediterranean dan Minyak Zaitun Extra Virgin mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat Diabetes semasa hamil. Malah, tahap kesihatan ibu dan anak juga lebih baik.
Ulasan penuh tentang kajian tersebut boleh anda baca di sini.
Minyak Zaitun Mengurangkan Kesan Sampingan “Stretch Marks” Pada Ibu Hamil.
Salah satu kesan yang kurang disukai oleh golongan ibu ketika hamil adalah “Stretch Marks”. Ketika mengandung, kulit di bahagian perut akan meregang dan meninggalkan kesan. Minyak Zaitun tidak merawat atau menghilangkan kesan regangan. Ia hanya membantu mengurangkan kesan sampingan apabila regangan tersebut berlaku.
Minyak Zaitun “Extra Virgin” kaya dengan Vitamin E dan pelbagai antioksida lain. Ia juga bertindak sebagai ejen untuk mengekalkan kelembapan kulit.
Vitamin E adalah salah satu bahan antioksida utama yang diperlukan oleh kulit untuk kekal sihat. Ada pelbagai fungsi dan kebaikan Vitamin E untuk kulit. Antara fungsi yang dikenal pasti adalah:
- Mengawal kulit dari kerosakan yang disebabkan oleh sinar UV dan radikal bebas.
- Mengawal kulit dari keradangan. Vitamin E bersifat anti keradangan (anti inflammatory).
- Merawat luka.
Untuk maklumat lebih mendalam tentang fungsi Vitamin E untuk kulit, bacalah artikel ini.
Sekiranya Minyak Zaitun digunakan dari awal waktu kehamilan, kesan sampingan dari regangan kulit itu dapat dikurangkan.
Dengan adanya aplikasi minyak zaitun, kulit akan menjadi lebih sihat dan kekal lembap. Paling tidak, pengamal minyak zaitun tidak akan merasa gatal dan pedih bila berlakunya regangan kulit ketika hamil.
Minyak Zaitun Mengekalkan Tahap Kesihatan Ibu Dan Bayi
Setiap ibu hamil perlu kekal sihat dan bertenaga sepanjang tempoh kehamilan. Minyak Zaitun adalah salah satu pemakanan yang dapat membantu dalam mengekalkan kesihatan.
Minyak Zaitun bersifat anti keradangan (anti inflammatory).
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan dalam menghadapi sebarang kecederaan dalaman.
Banyak keradangan dalam badan berlaku tanpa kita sedari. Semakin banyak keradangan berlaku, badan kita menjadi semakin kurang sihat. Di sinilah perlunya makanan tambahan seperti minyak zaitun. Sifatnya yang anti keradangan akan mengawal keradangan yang berlaku dalam badan. Dengan itu, badan akan kekal sihat.
Bayi juga turut mendapat manfaat kesihatan dari ibu yang mengamalkan pemakanan minyak zaitun. Kajian mendapati bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengamalkan pengambilan minyak zaitun kurang mengalami sesak nafas dalam tahun yang pertama.
Minyak Zaitun Mengelak Sembelit
Salah satu masalah utama ibu hamil adalah sembelit. Pengambilan minyak zaitun secara harian adalah satu cara untuk mengurangkan kemungkinan terkena sembelit.
Lemak di dalam minyak zaitun bertindak sebagai pelicin yang memudahkan perjalanan najis di dalam usus. Ia juga berfungsi sebagai pemangkin yang menyebabkan najis mengumpul air. Oleh itu, najis tidak menjadi keras.
Untuk mengelakkan sembelit, ibu hamil bolehlah mengamalkan satu sudu Minyak Zaitun “Extra Virgin” setiap pagi ketika perut kosong. Jangan berlebih lebih, nanti cirit birit pula.
Minyak Zaitun Membekalkan Vitamin E kepada Bayi Semasa Menyusu
Ibu hamil yang mengamalkan pemakanan minyak zaitun akan mempunyai bekalan Vitamin E untuk susuan bayi.
Di saat kelahiran, Vitamin E di dalam badan ibu akan terkumpul di dalam kelenjar kelenjar bekalan susu ibu.
Vitamin E ini penting untuk bayi yang tidak cukup bulan dan juga bayi yang mengalami kerosakan buah pinggang atau pankreas.
Asid Oleic yang terkandung dalam minyak zaitun juga mempunyai kesan positif terhadap pembesaran bayi dan juga pembentukan tulang mereka.
Mudahnya Aafiyat – Cara Mudah Untuk Ibu Ibu Mengamalkan Minyak Zaitun Setiap Hari
Khasiat dan manfaat yang terkandung dalam minyak zaitun memang tidak dapat dinafikan. Oleh itu, ibu hamil sepatutnya mengambil manfaat tersebut untuk kebaikan diri sendiri dan juga bayi yang bakal lahir.
Anda hanya perlu pastikan yang anda ada sebotol Minyak Zaitun Extra Virgin di dalam rumah.
Setiap pagi selepas subuh, sebelum bersarapan, ambil satu sudu Minyak Zaitun terlebih dahulu.
Selepas mandi, titiskan setitik dua ke atas telapak tangan dan sapukan ke bahagian perut untuk mengurangkan kesan regangan kulit.
Untuk kesan yang lebih hebat, bertukar kepada diet Mediterranean semasa hamil.
Apa Kata Anda Tentang Minyak Zaitun Untuk Ibu Hamil?
Baiklah, itu ringkasan tentang beberapa kebaikan minyak zaitun untuk ibu hamil.
Adakah anda tergolong dalam kumpulan ibu yang mengamalkan minyak zaitun ketika hamil?
Apa pengalaman anda?
Mungkin ada terdapat beberapa manfaat lain yang tidak kami nyatakan. Sekiranya anda tahu tentang faedah dan manfaat lain, sila kemukakannya di ruangan komen. InsyaAllah.