“Abah tak pernah beri upah kalau saya kerja dengan dia…”- Coach Bahar
Arwah abah tak sempat tengok saya berjaya. Arwah abah meninggal tahun 1996 ketika saya berada ditahun pertama di Universiti. Saya yakin arwah abah bangga dengan saya sebab bila dia meninggal kawan abah pak cik musa tukang jahit datang rumah beri seluar baru katanya abah tempah. Katanya senang nanti nak ke UKM tengok aku. Tapi abah tak berkesempatan.
Pelajaran Dari Abah
Saya dibesarkan dengan dua keadaan. Mak yang nak saya kerja kerajaan. Jadi bomba dan polis pun tak apa katanya. Abah yang diam-diam mengajar saya berniaga. Katanya belajar pandai-pandai dah besar berniaga je.
Abah seorang usahawan pada zamannya. Semua dia buat dan jual. Dia ada kedai ABC depan rumah yang kakak yang jaga, pagi subuh dia dah keluar menoreh getah. Jam 9 pagi dah keluar bawa teksi. Dalam teksi penuh dengan barang untuk dijual. Dari batu pahat muar semua orang kenal. Dia beli barang kat Muar dia jual kat Batu Pahat dan sebaliknya.
Masa raya dia jual mercun. Masa hari biasa jual kacang, jual keropok, jual ikan masin. Ada yang dia buat sendiri dan ada yang beli dengan orang.
Masa tu boleh dikatakan abah kategori yang berada sikit berbanding orang kat kampung. Orang nak pinjam duit datang rumah abah dan dia tolong. Kat kampung masa tu tak ada TV. Orang kampung kalau malam jumaat bawa anak-anak tumpang tengok cerita P.Ramli. Cuma masa abah mula sakit, keluarga kami mula susah sikit. Nasib baik akak dan abang dah kerja boleh bantu keluarga.
Nasihat-nasihat abah
1. Kita melayu tak boleh maju selagi tak ada ilmu dan tak berniaga. ” Ko belajar betul-betul sampai ke luar negara, tapi esok balik kalau boleh berniaga. jangan kerja dengan orang “.
2. Ada rumah besar dan kereta cantik tak bermakna orang tu kaya. Kereta sewa dengan bank. Ada kerja ada gaji. Setiap bulan kita berkerja kuat sampai kemalam tapi untuk orang lain.
3. Abah tak pernah beri upah kalau saya kerja dengan dia. Dia kata kalau nak duit fikir sendiri. Satu hari saya minta belikan basikal BMX dia tak belikan. Dia beri jalan, cabut ubi keledik di kebun dan menjaja di seluruh kampung.
Untung bagi dua. Seminggu saya berniaga dah dapat beli basikal BMX. Katanya, ” bukan apa yang dapat ini sangat penting bagi kamu tetapi pengalaman melaluinya akan membuat kamu berfikir untuk menyelesaikan masalah masa depan “. Ianya sungguh benar.
Kenangan Arwah abah menjadi sumber inspirasi saya dalam dunia bisnes.
Kredit: Coach Bahar