
Adab Beraya dalam Islam
Mesti anda semua tak sambar nak beraya kan… Anda tahu tak apa makna di sebalik Aidilfitri ni? ‘Eid al-Fitri atau Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadhan.
Menariknya di Malaysia, budaya kunjung mengunjung dan bersilaturahim di kalangan umat Islam bersempena sambutan hari raya telah dipraktikkan sejak turun temurun. Ia merupakan satu budaya yang amat baik dan selaras dengan ajaran Islam. Namun, dalam kita bergembira bersama sanak-saudara,budaya ini elok ditambah baik dengan adab-adab yang dianjurkan dalam Islam agar bertambah keberkatan dan ganjaran pahalanya daripada Allah SWT.
1. Ikhlaskan diri kerana Allah
Berdasarkan hadis baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya”.
[Bukhori: 1] Maka dengan niat kerana Allah di dalam ziarah hubungan yang renggang akan pulih, kasih sayang yang pudar akan kembali bersinar dan sifat yang buruk akan bertukar menjadi baik. Ini kerana dengan keikhlasan diri maka bersama kehadiran kita itu akan menjemput rahmat Allah.
2. Meminta izin untuk hadir dan memberikan salam sebelum masuk ke rumah
Sebelum berkunjung, Islam menganjurkan kita supaya meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah. Ini bagi mengelakkan kesulitan kepada tuan rumah untuk menyediakan hidangan serta supaya tidak mengganggu perancangan waktu yang telah mereka rancang.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 58 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu).
3. Tidak menghendap atau mengintip
Kita tidak dibenarkan untuk mengintip di jendela untuk memeriksa sama ada tuan rumah berada di dalam rumah atau tidak. Kita juga ditegah daripada mengintip keaiban tuan rumah dengan melihat kekurangan mereka. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang”.
4. Tidak sibuk dengan barangan perhiasan rumah tuan rumah
Kita tidak dibenarkan untuk memasuki urusan orang lain kecuali apabila diminta sendiri oleh mereka. Sudah menjadi penyakit bagi sesetengah orang untuk bertanya barangan yang terdapat di dalam rumah tuan rumah. Sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ciri kebaikan keislaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya”. (Tarmizi : 2240)
5. Menjaga mata
Tidak melihat secara liar dengan mengintai dapur ataupun bilik tidur supaya tidak tersingkap aurat tuan rumah yang berkemungkinan tidak sempurna.
6. Duduk hanya ditempat yang telah dikhaskan
Duduk hanya apabila diizinkan dan duduk di tempat duduk yang dikhaskan kepada tetamu. Janganlah sesuka hati berpindah ke bahagian lain dengan sengaja sekiranya tidak diizinkan.
7. Menjaga anak yang dibawa
Jika kita datang bersama dengan anak-anak kecil, pastikan mereka tidak mengotori atau memecahkan barangan tuan rumah. Jika berlaku di hadapan mata kita, maka hendaklah kita menasihati anak kecil agar tidak berbuat demikian. Berpesan kepada anak-anak sebelum melangkah masuk ke kediaman tuan rumah adalah dianjurkan supaya mereka dapat menjaga kelakuan.
8. Membawa buah tangan
Ini bukanlah satu kemestian tetapi atas tanda penghargaan, maka bolehlah membawa sedikit buah tangan ataupun memberi duit raya kepada kanak-kanak.
9. Tidak berlama-lamaan
Kita mestilah mengetahui ziarah bermaksud sebentar sahaja dan bukanlah sehingga menyulitkan tuan rumah untuk menyediakan makan pagi, tengah hari, petang dan malam untuk kita.
10. Mengucapkan syukur dan terima kasih
Ucaplah terima kasih dengan senyuman yang manis kepada tuan rumah yang sanggup menerima kita sebagai tetamu. Sabda baginda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia” – [Abu Daud:4177]
Semoga raya tahun ini lebih bermakna apabila kita dapat saling berkunjung dan maaf-memaafkan sesama umat Islam.
Tambahkan keceriaan syawal anda dengan set Sesihat Syawal daripada Olive House. Dapatkannya dengan klik