Ajar Anak Bersopan-santun Sejak Kecil. Ini Tipsnya!
“Bersopan-santun adalah amalan mulia”. Pernah dengar kenyataan ini? Benar, Ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik dan mencorak peribadi anak anak sejak kecil.
Nak dibandingkan dengan kita dulu dulu, ibu bapa pada masa kini mungkin kurang tegas pada anak-anak dalam mendidik cara berbudi bahasa.
Sebagai ibu bapa, anda mesti mahukan anak anda mempunyai sahsiah diri yang baik supaya mereka disenangi oleh orang sekeliling mereka. Oleh itu, jom lihat apakah tips yang boleh anda terapkan untuk mendidik anak anda bersopan-santun dan berbudi bahasa!
1. Ajar mereka mengucapkan ‘Terima Kasih’, ‘Maaf’ dan ‘Tolong
Ajarkan anak anda menggunakan perkataan ‘Tolong’ atau’Please’ di awal ayat untuk meminta bantuan dan akhiri dengan ‘Terima Kasih’ atau ‘Thank You’ setelah bantuan dihulurkan.
Selain itu, anda boleh juga ajar mereka menggunakan perkataan ‘Maaf’, ‘Sorry’ sekiranya ada perbuatan yang menyakiti atau perbuatan yang tidak sengaja dilakukan.
Ajar mereka untuk gunakan perkataan-perkataan ini dengan kerap serta berikan mereka galakan dan ucapan semangat untuk menggunakan perkataan tersebut dalam perbualan sehari-hari anda supaya mereka terbiasa dengannya.
Dengan menerapkan penggunaan perkataan-perkataan ini, anak anak akan belajar memahami cara untuk menghargai orang lain serta mengikis sifat ego dengan mengakui kesilapan diri.
2. Mengucapkan salam dan bersalaman dengan orang lain
Memberi salam dan bersalaman adalah contoh bersopan-santun yang biasa kita lakukan apabila berjumpa dengan orang lain.
Sebagaimana orang dewasa, kita selalu dipesan oleh ibu bapa kita sejak kecil untuk bersalaman dengan orang yang kita jumpa, begitulah juga kita sebagai ibu bapa harus mendidik anak-anak kita.
Mungkin ada antara anak anda tertanya-tanya, kenapa perlu memberi salam dan bersalaman dengan orang lain? Jelaskan pada mereka bahawa memberi salam dan bersalaman merupakan satu bentuk teguran atau sapaan sopan sebagai pembuka bicara.
Tidak lah kita terus terpa pada mereka. Terkejut pula mereka nanti. Budi bahasa kan budaya kita?
3. Menghormati orang yang lebih berusia
Ajari anak anda untuk memanggil atau membahasakan orang lain yang lebih berusia menggunakan perkataan yang baik seperti ‘Encik’, ‘Cik’, ‘Kakak’, ‘Abang’, dan sebagainya.
Mungkin mereka akan berasa janggal dan kekok pada mulanya, tetapi ibu bapa harus memulakan sebagai inisiatif untuk memupuk rasa hormat pada diri anak-anak supaya mereka selesa menggunakan panggilan tersebut di hadapan orang yang baharu mereka jumpa.
Selain panggilan, menghormati orang tua juga turut dapat dilihat daripada perlakuan. Tunjukkan contoh dan ajak mereka untuk sama-sama lakukan perkara tersebut.
Contohnya seperti memberi keutamaan kepada orang lebih tua seperti dalam menuang makanan atau memberi tempat duduk jika di tempat awam.
4. Elakkan pengisian televisyen atau video yang tidak baik
Kanak-kanak sangat mudah tertarik dengan visual, lagi-lagi melalui video dan juga televisyen. Namun, anda sebagai ibu bapa harus awasi pengisian konten dalam setiap video tontonan mereka.
Ini kerana, kanak-kanak mudah untuk meniru aksi yang mereka lihat. Jika baik tontonan mereka, baik lah impaknya yang mereka dapat. Jika tidak baik kandungan nya, ia boleh menjadi pengaruh buruk untuk mereka.
Sebaiknya, awasi dan hadkan tontonan kandungan yang mereka mengikut usia mereka supaya mereka tidak terdedah dengan perkara yang tidak sepatutnya.
“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Jom sama-sama pupuk nilai bersopan-santun dalam diri si kecil anda serta sebarkan kebaikan dan aura positif pada orang sekeliling kita😉