Anak Lebih Suka Makan ‘Jajan’? Ini 6 Jenis Makanan Bernutrisi untuk Mereka!
Siapa je tak suka makan jajan? Bukan hanya kanak-kanak je yang suka, bahkan orang dewasa pun memang suka makan jajan atau makanan ringan ni terutamanya pada waktu senggang.
Tapi…kalau anak asyik tolak makanan dan hanya makan makanan tak berkhasiat pun, tak elok. Anda sebagai ibu bapa perlu cari makanan berkhasiat dan bernutrisi yang digemari anak-anak untuk tumbesaran mereka.
Jom ketahui lebih lanjut 6 jenis makanan bernutrisi untuk mereka!
- Buah-Buahan
Buah-buahan menyediakan serat, vitamin, dan mineral yang penting. Buah beri (seperti blueberry, raspberry, blackberry) dianggap sebagai yang terbaik kerana melindungi daripada penyakit jantung, kencing manis, meningkatkan fungsi otak, dan mengurangkan lemak yang tidak diingini.
Oren merupakan sumber yang sangat baik untuk vitamin C. Gabungkan buah-buahan dengan warna-warna yang berbeza dan buatlah ‘smoothie’ dalam mangkuk bagi anak anda yang mempunyai warna yang menarik.
Namun, tidak perlu untuk terlalu mengikut gaya Barat. Buah-buahan tropika juga sangat baik untuk anak-anak kita. Buah-buahan tempatan seperti belimbing, pisang, tembikai, dan lain-lain juga sesuai. Sebarang jenis buah-buahan adalah baik untuk kesihatan anak anda.
- Sayur-Sayuran
Cuba tambahkan sayur-sayuran ke dalam diet anak anda. Tomato mengandungi ‘lycopene’ yang dapat melawan kanser. Untuk cara yang mudah, anda boleh menggunakan sos tomato dalam pasta atau daging bola. Sayur-sayuran seperti kobis, brokoli, dan sebagainya mengandungi phytonutrients, serat, dan vitamin.
Anda boleh campurkan salad ini dalam mangkuk anak anda bersama dengan mayonis mengikut citarasa. Jika membuat sandwich, tambahkan kentang manis. Anda juga boleh mempertimbangkan bayam, yang kaya dengan vitamin dan zat besi, serta selasih yang kaya dengan antioksidan.
Sekali lagi, jika anda rasa gaya hidup Barat tidak sesuai, ajarkan anak anda untuk makan ulam-ulaman tempatan. Ia juga enak!
Produk Tenusu pun baik untuk anak-anak tau!
- Telur
Telur adalah sumber protein berkualiti tinggi, mengandungi vitamin D dan antioksidan. Protein membantu dalam pembentukan badan, manakala vitamin D membantu tubuh menyerap kalsium.
Antioksidan pula dapat melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV. Meskipun dalam jumlah yang sedikit, telur dapat memberikan rasa kenyang kepada anak anda jika dimakan sebagai sarapan pagi. Untuk vegetarian, tauhu adalah alternatif yang baik untuk telur.
- Ikan
Ikan adalah sumber protein yang baik dan asid lemak omega-3 yang membantu dalam perkembangan otak dan memberikan perlindungan anti-radang. Salmon dan tuna merupakan ikan yang sihat dan disukai kanak-kanak, di samping banyak pilihan lain. Bagi vegetarian, terdapat makanan lain yang boleh memenuhi keperluan protein dan asid lemak omega-3.
Jika ikan seperti yang disebut agak mahal, pertimbangkan untuk menukar dengan ikan tempatan yang lebih ekonomi. Pergi ke pasaran pada awal pagi untuk mendapatkan sumber protein yang segar!
- Produk Tenusu
Protein adalah penting untuk pertumbuhan, manakala kalsium penting untuk tulang dan gigi yang kuat pada kanak-kanak. Yogurt mengandungi bakteria baik yang dapat meningkatkan sistem imun dan membantu dalam pencernaan.
Keju juga merupakan sumber protein yang baik. Sesekali, masukkan keju ke dalam sandwich bersama salad untuk anak-anak anda.
- Kekacang
Kacang-kacangan menyediakan protein, serat, dan kalsium. Kacang juga merupakan sumber zat besi berasaskan tumbuhan. Untuk meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan anak-anak anda, makanlah kacang dengan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti jus lemon atau ubi keledek. Untuk lebih kreatif, campurkan kacang dalam sayur-sayuran.
Semoga bermanfaat! 🙂