“Jangan jemu dengan kebaikan…”
Bila saya ke tempat kerja di Kuala Lumpur, satu perkara yang menjadi beban dan susah adalah tempat parking.
Satu jam RM4.00.
Saya berada di sekitar Plaza Imbi dan Low Yat hampir setengah hari. Parking saja sehari RM32. Sebulan? Memang masak.
Akhirnya, saya parking dekat Jalan Pudu. Parking biasa satu jam RM0.50. Setengah hari RM4. Alhamdulilah tapi nak usung laptop dan pc hampir 2km setiap hari memang semput habis.
Satu hari masa sedang jalan kaki ke kedai komputer, saya terpandang seorang pakcik india di tepi jalan. Atas motor. Mukanya berkerut. Seperti menahan sakit. Saya letak komputer dan laptop di tepi dan ke arah dia.
“Uncle kenapa?”
“Sakit kepala sangat”
Saya memang kaki migrain. Dalam beg ni panadol extra dengan activast selalu ada. Saya bagi dua biji dan air mineral yang sedia ada dalam beg.
“Uncle. Jangan jalan dulu. Duduk tepi dulu”
Saya papah dia duduk. Urut badan sikit. Sampai ok. Rileks. Tenang. Hampir 10 minit saya duduk teman dia kat situ.
“Boy, thanks ar. Suda ok ni”
“Ok uncle. Hati-hati ya”
Satu hari saya terpaksa juga parking di sekitar kedai komputer sebab nak angkat barang banyak. Satu jam RM4.00 pun takpelah. Janji mudah nak angkat barang nanti.
Masuk je parking, tukang jaga parking tu uncle yang saya tolong dulu. Dia nampak je saya terus bangun.
“Boy! Wah! Mau pigi mana?”
“Angkat komputer uncle. Banyak. Kena parking sini lah”
“Oh yeke? Takpa. Masuk saja. Tak payah bayar”
“Eh? Boleh ke?”
“Ni parking saya lah. Angkat tiket. Mau keluar kasi saya. Jangan bayar”
Dan setiap kali saya datang situ, kalau uncle tu ada masuk saja. Tak perlu bayar. Siap dia pesan ke pekerja, itu boy kopiah jangan angkat duit. Kasi dia masuk saja.
Itu baru satu.
Banyak lagi yang Tuhan perlihatkan dan bagi saya nampak, tentang siapa pun kita yang mahu berbuat baik, kebaikan itu akan berbalik semula pada kita.
Sebab saya berbuat baik, satu sahaja.
Yang baik itu datang daripada Allah.
Maka, kalau kita boleh berbuat baik, Allah lah yang izinkan. Dan kalau kita ada orang yang berbuat pada kita, itu juga kerana Alllah.
Jangan jemu dengan kebaikan.
Kebaikan takkan jemu menjamu kemanisan.
Kenangan dulu.
Letak kereta jauh sebab parking murah dan berjalan hampir 2km ke tempat pembaikian.
Kredit: Abu Hurairah Roslan