
Jom Rebut Pahala dengan Lakukan Amalan Awal Zulhijjah Ini!
Bulan Ramadan terkenal dengan kelebihan 10 malam terakhirnya. Namun, ramai juga yang tak tahu bahawa 10 hari terawal Zulhijjah merupakan hari terbaik berbanding bulan Ramadan. Oleh itu terdapat beberapa amalan yang kita boleh amalkan sepanjang 10 hari menuju 10 Zulhijjah atau hari Aidiladha nanti.
1. BERPUASA HARI ARAFAH
Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya:
“Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR Muslim, hadis sahih)
LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH:
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta’ala.”
Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.
Manakala, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.” (HR Muslim, hadis sahih)
2. PERBANYAKKAN BERDOA
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya:
“Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya:
“Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?” (HR Muslim, hadis sahih)
Saling mendoakan antara satu sama lain dengan mengucapkan:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.”
3. PERBANYAKKAN BERZIKIR
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya:
“Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (HR Ahmad, hadis sahih)
4. PERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MENGHUBUNGKAN SILATURAHIM
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر
Maksudnya:
“Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” (HR al-Thabarani, hadis hasan)
5. TADABBUR AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya:
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah al-Nisa’: 82)
Jom sama-sama kita kumpul pahala dalam menuju 10 Zulhijjah ini! 🙂