Sukar Tidur Lena? Cuba Amalan Rasulullah S.A.W Sebelum Tidur Ini!
“Aduh, esok nak kerja ni. Kenapa tak mau lelap ni?”
Kadang-kadang, sebabkan mata tak mahu lelap memang boleh sebabkan kita stres tau… Sekejap pusing kanan, sekejap pusing kiri. Macam-macam cara dah buat untuk dapatkan tidur yang lena.
Tenang… jangan stres-stres. Apa kata cuba amalan yang Rasulullah S.A.W amalkan sebelum tidur ni. Mana tahu, lebih mudah anda nak lelapkan mata dan tidur dengan lebih lena.
1. MEMBACA 2 AYAT TERAKHIR SURAH AL-BAQARAH
Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Huraira RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 5009)
2. BARING PADA SISI KANAN
Selain memberi manfaat untuk jantung, tidur pada sisi kanan sangat digalakkan dalam Islam kerana ia boleh memudahkan seseorang untuk bangun solat pada waktu malam.
Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:
“Berbaringlah diatas rusuk kananmu.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
3. MEMBACA 3 QUL
Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya itu ke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala sebanyak tiga kali.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5017)
4. BACA DOA TIDUR
Doa tidur dikhususkan untuk mendapatkan tidur yang lena tanpa sebarang gangguan manusia atau jin.
Dari Hudzaifah, ia berkata, “Apabila Nabi SAW hendak tidur, beliau mengucapkan:
‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama Mu, Ya Allah aku ma ti dan aku hidup).’
Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada Nya lah tempat kembali).” – (Hadis Riwayat Bukhari)
5. BERWUDUK SEBELUM TIDUR
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ
Maksudnya: “Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat.” – [Hadis Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)]
6. MENGIBAS TILAM SEBELUM BARING
Anda digalakkan untuk mengibas tempat tidur kerana risau akan mendatangkan kemudaratan seperti haiwan berbisa iaitu ular dan kala jengking, hama, serangga kecil dan sebagainya.
Riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya.”
Jangan lupa untuk amalkan ya!