Kajian Menunjukkan Barli Mengandungi Serat Lebih Tinggi Berbanding Beras Putih
Pernah tak korang terfikir, kenapa kita selalu pilih nasi sebagai makanan ruji? Padahal ada alternatif yang lagi sihat dan berkhasiat, iaitu barli.
Barli, dengan nama saintifiknya Hordeum vulgare, adalah bijirin penuh yang kaya dengan serat. Ia juga mengandungi beta-glukan, sejenis komponen penting yang sama seperti dalam oat. Beta-glukan ni bukan sahaja membantu rasa kenyang lebih lama, tetapi juga boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah dan mengawal gula selepas makan.
Barli ada dua jenis: barli bersekam (hulled barley) dan barli tanpa sekam (pearl barley). Barli bersekam hanya dibuang bahagian luar yang keras, jadi ia lebih ‘natural’ dan penuh dengan nutrisi. Sebaliknya, barli tanpa sekam, atau pearl barley, melalui pemprosesan lebih banyak, jadi ia kurang nutrisi.
Di Malaysia, barli biasanya dijadikan minuman iaitu air barli. Walaupun air barli (pearled) kaya dengan magnesium dan zink, beras putih memiliki kelebihan lain seperti vitamin B9 atau folat kerana ia diperkaya dengan nutrien tambahan.
Tapi, kalau dibandingkan dengan barli jenis hulled yang masih ada sekam, barli hulled jelas lebih hebat daripada beras putih. Ia mempunyai kandungan serat yang jauh lebih tinggi – sekitar 17.3 gram per 100 gram – dan juga lebih banyak protein serta nutrien penting.
Menurut Food and Drug Administration (FDA), kita semua patut dapatkan 25 gram serat sehari untuk jaga kesihatan. Bayangkan bila kita tak cukup serat dalam diet harian kita, macam-macam masalah boleh timbul. Gula darah kita boleh jadi tak stabil, dan perut pun boleh mula meragam.
Jadi, apa kata selepas ini, cuba tambahkan sedikit barli dalam diet harian korang, tanpa perlu terus meninggalkan nasi. Kita semua tahu, nasi ni memang sudah sebati dengan selera kita, kan? Cuba masukkan minuman barli dalam menu korang.
Oleh: Aisyashuib