Katsuobushi: Makanan Paling Susah Pembuatannya
Katsuobushi ni mungkin anda tak kenal sangat, tapi rasanya anda kenal dengan nama bonito flakes’ ni. Ya, yang kepingan ikan menghiasi atas takoyaki yang dijual tepi jalan itu!
Bonito flakes atau katsuobushi ni ialah makanan awet dari daging ikan tongkol atau katsuo yang dihiris halus. Sajian ni memang wajib ada setiap kali menghidangkan makanan Jepun. Kalau takde makanan ni, tak lengkap hidangan Jepun punya!
Sebenarnya, cara pembuatan makanan ini diiktiraf sebagai terpaling susah, tapi taraf kesusahan buat katsuobushi ni bukannya sampai taraf di mana orang Jepun je yang boleh buat. Anda sendiri pun boleh buat kalau ada ikan tongkol. Yang susahnya ialah cara pembuatannya yang begitu rumit.
Mula-mula, ikan tongkol disiang dulu dengan buangkan kepala dan jadikan dagingnya dalam bentuk filet (fillet). Kemudian filet ini direbus selama 100 minit (bergantung kepada saiz filet). Lepas direbus, filet ikan ini disalai guna arang kayu oak selama 5-6 jam. Lepas salai, rehatkan dulu filet tersebut, kemudian salai lagi sebanyak 12-15 kali.
Teknik salai ini diperlukan bagi hilangkan sisa air dalam filet ikan ni. Filet ikan lepas disalai akan dijemur seketika. Selepas itu filet dilumur menggunakan hanya satu-satunya spesis kulat bernama ‘Aspergillus glaucus’ dan dibiarkan menapai isi ikan itu selama 2 minggu (4 bulan kalau buatan kilang).
Lepas ditapai, filet ikan akan mengeras seperti kayu. Bunyi filet mengetuk filet lain biasanya bunyi kayu diketuk. Rupanya seperti batang kayu memanjang. Beginilah rupa katsuobushi selepas selesai melalui langkah-langkah yang rumit ini.
Tapi, belum siap lagi ni! Katsuobushi kena dihiris dulu menggunakan sejenis alat bernama katsuobushi kezuriki. Rupa dia macam ketam kayu tapi khas untuk memghiris katsuobushi. Katsuobushi dihiris inilah orang Jepun panggil sebagai kezuri-bushi.
Ada khasiatnya katsuobushi ni walaupun proses pembuatannya amat rumit. Proses mengeringkan isi ikan akan menjadikan kandungannya mempunyai tiga kali ganda jumlah protein.
Katsuobushi juga rendah lemak dan penuh dengan vitamin yang boleh mengurangkan proses penuaan badan seperti vitamin B12, selenium, potassium, dan fosforus.
Tambahan lagi, makanan kering ini mempunyai asid amino (amino acid) seperti tryptophan dan peptides yang membantu mengurangkan stress, hilangkan insomnia, kurangkan keletihan, dan membantu penghasilan kolagen yang berfungsi tegangkan kulit!
Kerana penyediaan yang rumit inilah, Guinness World Records mewartakan makanan Jepun ini sebagai makanan paling susah dibuat dunia!
Macam mana, anda boleh buat bonito flakes ini secara ‘homemade’?
Oleh: Dinie Liow (Dans)