Kenapa Minyak Zaitun Mahal? Jom Ketahui Sebabnya!
“Eh, mahalnya! Minyak zaitun je pun…”
Pernah tak ayat ni terpacul daripada mulut anda ketika melihat harga sebotol minyak zaitun di pasar raya? Ada yang kata, harga mahal disebabkan produk minyak zaitun ni barangan import. Ya, memang itu salah satu faktornya.
Tapi, apa faktor utamanya? Antara faktor utama kenaikan harga minyak Zaitun adalah disebabkan perubahan iklim.
Kemarau mendorong harga minyak zaitun yang tinggi
Negara mediterranean seperti Sepanyol dan Morocco merupakan antara pengeluar zaitun terbesar di dunia. Namun, menurut sebuah artikel yang diterbitkan oleh Quartz, cuaca panas serta kemarau telah menjejaskan pengeluaran minyak zaitun serta menyebabkan harganya melonjak naik.
Selaku pengeluar zaitun terbesar di dunia, biasanya Sepanyol menghasilkan lebih daripada satu juta tan minyak zaitun setahun. Tetapi, disebabkan kemarau atau gelombang haba yang teruk dialami oleh negara tersebut, ia nyata telah menjejaskan pengeluaran minyak zaitun dari negara itu. Cuaca kering juga boleh memberi kesan kepada tanaman musim depan, sekiranya pokok zaitun tidak dapat menghasilkan dahan baharu kerana kekurangan air.
Hal ini bukan sahaja memberi impak kepada negara Sepanyol sahaja, malah ia turut memberi impak kepada seluruh negara mediterranean termasuk Morocco yang terlibat dalam pengeluaran minyak zaitun.
Jadi, jelas disini bahawa harga minyak zaitun yang tinggi adalah disebabkan perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran minyak zaitun. Oleh itu, gunakan serta amalkan manfaat minyak zaitun ini sebaik-baiknya ya!