
Malaysia Airports dan KLIA
Hangat berita tentang Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) akan dijadikan syarikat persendirian oleh konsortium Khazanah + KWSP + GIP (Global Infrastructure Partners) + ADIA (Abu Dhabi Infrastructure Authority). Sekarang ini MAHB adalah sebuah syarikat senaraian awam (public listed) di Bursa Malaysia.
Untuk pengetahuan, MAHB mengurus dan menjaga 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia kecuali lapangan terbang Senai, Johor. Amat jelas MAHB adalah syarikat yang memonopoli bisnes ini.
Saya cukup suka bercerita hal lapangan terbang. Pertama, projek tahun akhir Master Seni Bina saya adalah ‘Lapangan Terbang ASEAN’ di Melaka.
Kedua, saya pernah terlibat di dalam konsortium yang mencadangkan projek KLIA3 pada 2019. Banyak yang saya belajar dari Tan Sri Jamilus – Bapa Pembangunan KLIA.
Okey cukup hal nak cerita dulu-dulu. Apa cerita MAHB ini sebenarnya?
MAHB bertanggungjawab menguruskan KLIA iaitu pintu masuk utama negara Malaysia. Membangunkan dan mempunyai lapangan terbang bertaraf dunia adalah antara strategi utama dalam memajukan ekonomi sesebuah negara.
Lapangan terbang yang berjaya akan menarik orang luar untuk datang. Ada yang transit sekadar beberapa jam dan ada yang berhari-hari berjalan ke bandar. Mereka berbelanja dan merangsang ekonomi.
Inilah strategi Dubai, Doha, Abu Dhabi, Changi, Jakarta, Incheon, Jeddah dan terbaru, Riyadh.
Berbalik ke MAHB, kita semua tahu apa yang dah jadi dengan KLIA sekarang. Pada suatu ketika KLIA adalah lapangan terbang kedua terbaik dunia. KLIA siap ada hutan di dalam terminal. Sekarang?
Hutan dalam terminal itupun dah berkunci. Aerotrain pun rosak dah bertahun tangguh. Keselamatan pula merisaukan sampai ada kes tembak terang-terangan.
Siapa yang pernah singgah di lapangan terbang Changi, Singapura akan ternganga tengok betapa lawa dan futuristiknya ‘The Jewel’. Kenapa selalu Singapura boleh hebat dan Malaysia tertinggal? Walhal KLIA yang mula dulu.
Saya berbendapat inilah jadinya bila bisnes monopoli. Complacent. Ambik mudah. Cuba tengok fakta ini:
1) Ranking KLIA dari nombor 2 (2001), sekarang 71 (2023). Di Asia, KLIA adalah kelapan terburuk. Ini jelas menunjukkan KLIA semakin ketinggalan.
2) Pertumbuhan trafik penumpang di KLIA selepas Covid antara yang perlahan di ASEAN. Pada 2023, KLIA mencatatkan 76% jumlah penumpang yang diperoleh pada 2019. Akan tetapi Changi 86%, dan Manila 94%.
3) Jaringan destinasi (network) jarak jauh di KLIA tidak sehebat Changi dan Bangkok. Dalam kesemua penerbangan dari KLIA, hanya 2.2% ke Eropah. Changi adalah 8.1% dan Bangkok 9.5%.
Pada saya ini sahaja dah cukup sebab kenapa MAHB perlu diubah sebab lama sangat tak berubah.
Lagi-lagi pemain lain dah semakin agresif majukan serta perhebatkan lapangan terbang mereka.
Indonesia berbelanja RM11.8 bil untuk memajukan 5 lapangan terbang. Thailand belanja RM6.02 bil. Fillipina belanja RM8.4 bil. Changi (Singapura) yang dah sedia hebat pun akan belanja RM9.3 bil lagi untuk membina Terminal 5.
Malaysia? Hanya RM2.3 bil untuk naik taraf 2 lapangan terbang (Penang dan Subang).
Jadi takkan KLIA di bawah MAHB nak jauh lagi tertinggal? Sudah jelas MAHB perlu bersaing dan untuk tujuan tersebut mereka memerlukan modal yang besar.
Cuma persoalannya, dari mana nak dapatkan suntikan modal berbillion ringgit?
MAHB sendiri tidak cukup. Dari 2010 hingga 2022, MAHB hanya melabur RM4 bagi setiap penumpang untuk tujuan naik taraf infra, keselesaan penumpang dan kemudahan fasiliti. Ini berbeza dengan Indonesia (RM13) dan Thailand (RM7).
Kerajaan? Ada ke duit? Kalau adapun, perlukah dibelanja ke sini atau lebih baik digunakan naik taraf hospital, sekolah dan pengangkutan awam? Banyak lagi prioriti Kerajaan perlu berikan.
Jawapannya tidak lain tidak bukan kenalah dari pelabur institusi, pelabur tempatan dan pelabur asing.
Tapi ada duit sahaja tanpa kepakaran pun tak jadi. Dalam hal MAHB ini, mereka turut memerlukan kepakaran dalam menguruskan lapangan terbang.
Saya fikir atas pertimbangan inilah Khazanah memilih menjadikan MAHB sebuah syarikat persendirian.
Bila dah jadi syarikat persendirian, banyak perkara radikal yang boleh dilakukan dengan lebih pantas seperti menukar barisan pengurusan, pemotongan kos, urusan perolehan, dan mendapatkan suntikan modal dari luar (baca: pelaburan asing).
Lagi-lagi Khazanah dah ada kisah kejayaan iaitu Malaysia Airlines yang dahulunya syarikat awam, kini adalah syarikat persendirian yang menguntungkan.
Sebenarnya negara jiran kita, Indonesia dah lama mengguna pakai model ini untuk projek infra mereka seperti lebuhraya, jambatan dan kereta api. Contohnya kerjasama membangunkan dua lebuhraya bernilai RM12 bil bersama APG Asset Management (Dana Persaraan Belanda), ADIA (Abu Dhabi) dan GIP.
Kalau Indonesia boleh, kenapa Malaysia tak nak cuba? Sudah jelas Malaysia semakin ketinggalan dalam bidang inrastruktur awam.
Secara jujur saya berpendapat membawa masuk pelabur asing seperti ADIA (ada wang) dan GIP (ada kepakaran) bukanlah satu-satuya cara yang MAHB ada.
Saya lebih cenderung untuk Khazanah memecahkan monopoli MAHB dengan mengajak lebih ramai pemain swasta yang baru.
KLIA boleh dikekalkan di bawah MAHB dan dimajukan oleh konsortium mereka sendiri. Tetapi lapangan terbang kecil di negeri lain dibuka kepada pemain baru. Saya yakin ada sahaja pemain tempatan yang berupaya. Mereka boleh bekerjasama dengan operator antarabangsa dan meraih dana dari pasaran modal.
Mungkin ini langkah seterusnya? Saya tidak tahu.
Namun itu lebih kepada strategi. Apa yang penting adalah MAHB perlu diubah. Business cannot be as usual anymore. Satu perubahan yang drastik perlu dilakukan. Jangan sekadar buat perubahan kosmetik sahaja.
Gunakan peluang ini bawa masuk kepakaran terbaik dalam industri. Transformasi yang benar benar mengangkat martabat infrastruktur negara. Perubahaan yang boleh membanggakan rakyat Malaysia.
Lagi-lagi tahun depan Malaysia adalah tuan rumah ASEAN dan 2026 pula adalah Tahun Melawat Malaysia. Takkan masa itu lapangan terbang kita masih gagal memberikan pengalaman yang menarik kepada pelawat dan pelancong?
Oleh: Radzi Tajuddin