Modal untuk Pemula
Seringkali bila kita berbicara tentang memulakan perniagaan, selain soalan “Apa nak jual?”, soalan kedua yang akan menerpa minda ialah “Mana nak cari duit (modal)?”.
Selalunya mindset begini yang akan merencatkan niat dan keinginan kita untuk mula berniaga. Maka dalam penulisan ini, saya akan bawa Tuan Puan pembaca budiman untuk kita menjelajah apakah modal selain duit dan bagaimana cara untuk memulakan peniagaan menggunakan modal-modal tersebut.
Modal, jika kita dalami maksudnya, ia adalah sesuatu yang kita punyai yang kita boleh laburkan untuk mencapai sasaran yang dihajati. Selain duit, apa yang kita boleh laburkan ialah:
- Masa
- Tenaga
- Skil
- Network
Ramai usahawan yang berjaya, yang bermula dari bawah, dengan menumpukan kepada 4 modal ini selain duit. Dengan 4 modal ini juga kebanyakan usahawan dapat meng-validate (mengesahkan) sama ada satu-satu perniagaan itu wajar untuk dilaburkan wang ringgit atau tidak.
Dengan 4 modal ini, gerak kerja anda boleh berkitar dari aspek:
- Cuba menjual produk keluaran syarikat lain dahulu dengan menjadi affiliate atau dropshipper. Dulu ramai orang dari berjual dari rumah ke rumah. Sekarang kita dah ada platform jualan atas talian seperti Facebook, TikTok, Shopee dan Instagram.
- Kita boleh menawarkan skil yang kita ada dengan menjadi konsultan atau freelancer. Di Amerika Syarikat, freelancing ini sudah semakin menyaingi jumlah mereka yang memilih untuk makan gaji.
- Ada juga yang mewujudkan permintaan dahulu sebelum mula mengambil atau menghasilkan produk untuk pastikan apabila dia mula menjual produk tersebut, pembelinya sudah pun ada. Ramai yang laksanakan strategi ini dengan menggunakan media sosial dengan mewujudkan permintaan melalui penulisan dan video.
- Menggunakan apa yang ada disekeliling dahulu. Ada usahawan yang bermula di rumah secara kecil-kecilan yang kemudiannya diperbesarkan secara berkala.
Kesemua di atas perlukan kepada usahawan memegang satu konsep iaitu; “Start small. Plan big.”
Meletakkan milestones (sasaran) dan membina (roadmap) rangka kerja yang jelas sangat membantu.
Tips terkahir dari saya sebelum memulakan satu-satu perniagaan, lihat kepada apa yang kita rancangkan dan tanya kepada diri kita soalan-soalan ini;
- Apa masalah yang saya nak selesaikan dengan perniagaan ini?
- Siapa yang mempunyai masalah begini?
- Bagaimana dengan perniagaan ini saya dapat tambah-baik kehidupan sendiri dan kehidupan pelanggan?
Selamat mencuba dan majulah keusahawanan untuk negara.