Nanas: Superfood Sumber Antioksidan
Anda sukakan buah-buahan tempatan? Jika ya, pastikan anda masukkan nanas sebagai salah satu buah-buahan wajib dalam diet harian anda. Kalau anda nak tahu, nanas ini adalah salah satu jenis makanan yang dianggap sebagai superfood, kerana pelbagai khasiat dan faedah yang terkandung di dalamnya.
Nanas adalah daripada keluarga bromeliad, dan salah satu daripada tiga buah tropika yang paling penting di dunia selepas pisang dan sitrus. Melihat kembali sejarah nanas ini, Christopher Columbus telah membawa pulang nanas ke Eropah selepas ekspedisinya ke Amerika Selatan. Nanas dikenali sebagai buah yang mahal dan eksotik, dan ketika itu hanya dihidangkan dalam jamuan yang paling mewah. Pada hari ini, nanas semakin mudah untuk diperoleh, dan orang ramai boleh menikmatinya dalam bentuk pepejal, kering dan sebagai jus.
Kandungan nutrien yang terdapat dalam nanas ini merangkumi pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan kita. Ini termasuklah kalsium, kalium, serat, dan vitamin. Ia rendah lemak dan kolesterol, malah menjadi sumber vitamin B1, B6, dan serat yang baik.
Nanas adalah buah yang membantu untuk penghadaman dan agen anti-radang semulajadi. Bahan utama yang terdapat dalam nanas, iaitu bromelain adalah campuran enzim yang mencerna protein (proteolitik). Sejak dahulu lagi, nanas ini telah digunakan di Amerika Tengah dan Selatan untuk merawat senak dan mengurangkan keradangan. Bromelain, yang boleh didapati pada bahagian batang dan jus nanas, telah mula dikaji dan diasingkan daripada nanas pada akhir 1800-an. Waktu itu, di Jerman, bromelain ini telah diluluskan untuk merawat bengkak dan keradangan selepas pembedahan, terutamanya pembedahan sinus. Bromelain dalam nanas ini juga digunakan untuk merawat rheumatoid arthritis dan untuk mempercepatkan pembaikan tisu akibat kecederaan ulser diabetik dan pembedahan am.
Nanas sudah menjadi bahan utama dalam kaedah perubatan tradisional selama berabad-abad lamanya. Kandungan vitamin dan mineralnya menyumbang kepada keupayaan peningkatan imun individu, seperti yang dibuktikan oleh beberapa kajian. Melalui kajian ini, mereka yang mengambil nanas didapati mempunyai risiko yang lebih rendah untuk dijangkiti jangkitan virus dan bakteria, dan individu yang makan paling banyak nanas mempunyai jumlah sel darah putih yang lebih tinggi daripada kumpulan lain.
Nanas ini juga berfungsi dengan baik untuk membantu proses penghadaman, hasil daripada tiga komponen utama di dalamnya, iaitu vitamin C, serat dan bromelain. Bromelain ini berfungsi sebagai enzim pencernaan, membantu tubuh memecahkan protein kompleks kepada asid amino dan peptida yang boleh digunakan oleh badan untuk membaiki sel yang rosak. Kerana kelebihan yang dimilikinya ini, ekstrak bromelain digunakan secara meluas untuk melembutkan daging komersial. Dalam beberapa kajian, ia membantu orang yang mengalami ‘pancreatic insufficiency’ iaitu keadaan di mana badan tidak menghasilkan enzim pencernaan yang mencukupi.
Paling utama, nanas ini juga sarat dengan antioksidan yang sihat seperti asid fenolik dan flavonoid. Beberapa antioksidan ini malah terikat dalam matriks tidak larut yang menghalangnya daripada dipecahkan oleh asid perut sehingga ia boleh dihantar ke tempat yang diperlukan dalam badan. Badan menggunakan antioksidan untuk meneutralkan radikal bebas yang disebabkan oleh tekanan oksidatif yang boleh menyebabkan sistem imun yang lemah, keradangan kronik, penyakit jantung, dan penyakit kanser.
Fungsi antioksidan ini juga boleh meningkatkan kesuburan. Oleh kerana radikal bebas boleh merosakkan sistem pembiakan, maka, makanan tinggi antioksidan seperti nanas disyorkan untuk mereka yang cuba hamil.
Dalam beberapa kajian yang dijalankan, para penyelidik mendapati bahawa bromelain mempunyai antiproliferatif, proapoptotik (mencetuskan kematian sel) dalam karsinoma kolorektum, selain mempunyai sifat perlindungan kemo (Sumber: 1, 2). Kajian yang dilakukan ke atas sel dalam tabung uji menunjukkan bromelain juga merangsang kematian sel kanser payudara dan menyekat pertumbuhannya.
Nanas juga berperanan penting dalam mengekalkan tahap tekanan darah kerana kandungan kaliumnya yang tinggi dan natriumnya yang rendah. Walau bagaimanapun, individu yang menghidap diabetes harus mengambilnya secara terkawal kerana nanas mengandungi indeks glisemik yang sederhana nilainya.
Dengan segala khasiat dan nutrien yang dimiliki oleh nanas ini, maka wajarlah ia menjadi superfood yang paling mudah untuk diperoleh. Walau bagaimanapun, ia juga harus diambil secara sederhana dan tidak berlebihan agar tidak memberi kesan yang buruk terhadap badan.
Oleh: Farahi Kamaruddin