Perbezaan antara Penyakit Kardiovaskular dan Penyakit Jantung
Penyakit kardiovaskular merupakan semua penyakit yang berkaitan dengan jantung atau saluran darah (blood vessel).
Kardio merujuk kepada struktur dan fungsi jantung sementara vascular merujuk kepada semua saluran darah di dalam dan juga di luar jantung yang terdapat dalam seluruh badan.
Contoh penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung koronari (saluran darah tersumbat yang boleh mengakibatkan serangan jantung atau angin ahmar/strok), kecacatan jantung kongenital dan penyakit arteri periferal. Penyakit arteri peripheral terjadi apabila saluran darah, sama ada di kaki atau tangan tersumbat atau mengecil disebabkan oleh plak yang terdiri daripada kolesterol, kalsium, lemak dan sel-sel mati yang menempel pada arteri. Ia mengakibatkan tangan atau kaki bengkak dan sakit. Ia juga menyebabkan pengurangan pengaliran darah beroksigen ke kaki atau tangan.
Perlu diingatkan di sini semua penyakit jantung adalah penyakit kardiovaskular tetapi tidak semua penyakit kardiovaskular merupakan penyakit jantung. Penyakit jantung yang biasa adalah penyakit jantung koronari. Penyakit ini sering disebutkan sebagai penyakit jantung. Penyakit jantung berkait rapat dengan struktur jantung seperti lemah jantung, kegagalan jantung, angina, aritmia (arrhythmia), penyakit jantung valvular dan penyakit arteri koronari.
Ini termasuk juga penyakit strok, tekanan darah tinggi dan kencing manis yang tidak dikawal. Penyakit ini juga disebut sebagai penyakit jantung koronari atau aterosklerosiskoronari.
Kesemua penyakit ini terbit daripada saluran darah yang tersumbat. Aterosklerosis koronari merupakan keadaan yang teruk dan genting kerana boleh mengakibatkan serangan jantung yang dinamakan sebagai acute myocardial infarction atau strok. Sekiranya tidak dirawat, ia akan membawa serangan angina, sakit dada yang amat sangat. Ini merupakan amaran yang menunjukkan seorang pesakit mempunyai penyakit jantung.
Lemah jantung terjadi apabila jantung tidak dapat mengepam darah yang diperlukan untuk pengaliran darah dalam anggota manusia mengalir dengan lancar dan sistematik, serta mendapatkan oksigen secukupnya. Lebih-lebih lagi ekoran tekanan darah tinggi yang tidak dirawat dengan baik, yang boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan
juga penyakit lain, seperti penyakit arterikoronari dan penyakit jantung valvular.
Walau apa pun jenis penyakit jantung, ia adalah berkait rapat dengan tekanan darah tinggi, kolestrol yang berlebihan, kegemukan (obesiti), menghisap rokok, tidak bersenam atau berjalan kaki, diet yang tidak dikawal, mengambil makanan yang berminyak dan berlemak yang tinggi, kencing manis dan keturunan keluarga yang menghidap penyakit jantung.
Diharapkan dengan keterangan di atas dapat memberi sedikit sebanyak gambaran mengenai penyakit jantung.
Sumber : Artikel oleh Hajah Ainon Hj Kuntom, Berita Yayasan Jantung Malaysia Vol 53