Permainan Video Ada Juga Baiknya?
Selalunya, orang tua kita akan memarahi anak-anaknya kerana bermain permainan video. Kalau sakit pun disalahkan juga permainan video tersebut. Tapi, tahukah anda yang permainan video sebenarnya memberi banyak kebaikan dari sudut kesihatan?
Pakar bedah, Dr. James ‘Butch’ Rosser telah menjalankan satu eksperimen melibatkan 300 pakar bedah. Dalam eksperimen itu, 150 pakar bedah bermain permainan video selama enam minit manakala baki 150 lagi tidak bermain apa-apa permainan sebelum melakukan pembedahan laparoskopi maya.
Hasil eksperimen menunjukkan bahawa pakar bedah yang bermain permainan video menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding rakan mereka yang tidak bermain. Statistik menunjukkan bahawa pakar bedah yang bermain permainan video lebih daripada tiga jam seminggu membuat 37% kurang kesilapan, 27% lebih cepat, dan 26% lebih baik dalam markah peratusan berbanding kumpulan kawalan.
Rosser menyamakan tindakan pakar bedah bermain permainan video ini seperti atlet melakukan aktiviti pemanas badan sebelum pertandingan.
Impak kajian ini mendorong hospital menyediakan satu ruangan di mana pakar bedah boleh bersiap sedia atau bermain permainan video.
Satu kajian yang diketuai oleh Dr. Andrea Facoetti mendapati bahawa individu disleksia dapat meningkatkan pemahaman bacaan selepas sesi permainan video yang panjang.
Sebanyak 20 kanak-kanak disleksia dipilih, di mana 10 daripadanya bermain permainan video dalam sembilan sesi selama 80 minit, manakala baki 10 lagi bertindak sebagai kumpulan kawalan.
Kemahiran membaca dan fokus mereka diuji sebelum dan selepas sesi permainan, dan hasilnya dibandingkan dengan keputusan kumpulan kawalan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa kumpulan yang bermain permainan video mempunyai kemahiran fokus yang lebih baik berbanding kumpulan kawalan.
Menurut Facoetti, permainan video membantu individu ini meningkatkan penumpuan visual dan pengambilan maklumat dari persekitaran mereka.
Satu kajian oleh Daphne Bavalier mendapati bahawa kekerapan bermain permainan video aksi seperti siri Call of Duty atau Battlefield membantu meningkatkan penglihatan pemain.
Bavalier meminta sekumpulan pemain permainan video aksi berpengalaman bermain permainan Unreal Tournament 2004 dan Call of Duty 2, manakala satu kumpulan lain bermain permainan simulasi The Sims 2.
Hasil kajian menunjukkan bahawa kumpulan pertama mempunyai kualiti penglihatan yang lebih baik berbanding kumpulan kedua.
Kajian sebelumnya juga mendapati bahawa permainan video aksi membantu meningkatkan kemahiran visual pemain.
Bavalier dan pasukannya ingin mengetahui bagaimana permainan video dapat menajamkan penglihatan pemain. Beliau mencadangkan bahawa latihan mengesan dan menembak musuh merupakan satu bentuk senaman untuk mata.
Satu lagi teori adalah perubahan persekitaran yang pantas dan tidak menentu dalam permainan ini memaksa pemain memantau persekitaran mereka sepanjang masa.
Kadang-kadang, dalam sesetengah permainan video, pemain perlu mencapai pencapaian tertentu untuk mara ke peringkat seterusnya.
Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila para saintis berpendapat bahawa pencapaian ini meningkatkan motivasi pemain semasa bekerja. Jangan terkejut jika anda mampu menyelesaikan pelbagai masalah, kerana ia berkait dengan kemahiran yang anda peroleh daripada bermain permainan video.
Tahukah anda, unsur sejarah dalam watak dan latar tempat dalam permainan video membantu pemain lebih memahami budaya atau sejarah sesuatu tempoh?
Contohnya, penggemar siri permainan bersejarah seperti Age of Empire dan Total War dapat meningkatkan minat mereka terhadap budaya dan sejarah negara asing.
Berdasarkan satu kajian, ibu bapa yang membelikan buku, peta, atau bahan berkaitan permainan tersebut mendapati bahawa anak-anak mereka lebih berminat untuk belajar lanjut.
Oleh: Azizul Farhan