Wasabi: Sambal Hijau Dari Jepun
Biasanya kalau nak makan sushi di Sushi King, mesti bahan perasa macam kicap dan sos shoyu wajib ada untuk dicecah. Jangan lupa wasabi, iaitu ‘sambal hijau’ yang pedasnya ngilu sampai ke telinga dan hidung!
Bagi korang yang tak tahu apa benda wasabi ini, ‘sambal hijau’ ini sebenarnya ialah perasa dari spesis lobak pedas (horseradish) Jepun bernama ‘Eutrema japonicum’ yang hanya ditemui di Jepun. Lobak pedas ini juga ditanam di Rusia Timur dan Semenanjung Korea.
Wasabi biasa digunakan sebagai perasa kepada sushi. Bahagian hujung lobak akan dikisar menggunakan alat pengisar tradisional yang mempunyai kulit ikan yu. Peralatan moden seperti ‘oroshigane’ dan pengisar keju juga dibolehkan. Hasilnya, bahan berlicak berwarna hijau terhasil dari wasabi.
Pedasnya wasabi ini berbeza dengan pedas cili padi. Pedasnya hanya hidung yang terasa bahangnya, lebih tepat merasa ngilu. Kadang-kadang pedas wasabi mampu menaik ke telinga. Jadi, tahap kepedasan wasabi berbeza dengan kepedasan cili yang hanya terasa bahangnya di lidah.
Walaupun pedasnya lain macam, tapi ada khasiatnya wasabi ni. Wasabi boleh meningkatkan sistem imunisasi kerana mempunyai vitamin C. Rasa pedas wasabi ini sebenarnya boleh menghilangkan keradangan dalam badan. Boleh katakan wasabi ini ada elemen anti-keradangan.
Tambahan lagi, wasabi boleh kurangkan tekanan darah dan risiko mendapat serangan jantung. Mineral kalsium yang terdapat dalam wasabi juga berperanan untuk kuatkan tulang. Lagi satu, wasabi membantu cernakan makanan dengan mudah dengan tingkatkan jumlah enzim pencernaan.
Pertama kali wasabi direkodkan sebagai perasa sushi ialah pada abad ke-8 Masihi. Kemudian orang Barat mengenali wasabi pada tahun 1980. Masalahnya, wasabi begitu mahal jika dieksport ke mana-mana negara barat. Nak tanam wasabi pun lobaknya begitu sensitif dengan persekitaran, hanya dapat ditanam di lembah gunung yang mempunyai aliran sungai yang deras.
Jadi, orang Barat mempunyai cara sendiri membuat wasabi versi mereka, iaitu menggunakan lobak pedas biasa dari spesis ‘Armoracia rusticana’. Lobak pedas ni orang Jepun panggil dengan nama ‘wasabi barat’.
Jadi, lepas tahu pasal wasabi ni, korang masih nak cuba makan sushi campur wasabi?
Oleh: Dinie Liow (Dans)