
Rumah Kekal Kemas, Hati Kekal Tenang
Tiada yang lebih menenangkan daripada pulang ke rumah yang kemas dan tersusun rapi setelah bekerja seharian bukan?
Tetapi dalam kesibukan bekerja, pasti ada masa kekemasan dan kebersihan rumah terabai dalam jadual yang padat tiada kesudahannya. Walaupun begitu, rumah tetaplah menjadi tempat di mana kita mencari kedamaian dan keselesaan untuk ketengan kita, Rumah bukan sahaja fokus pada nilai ‘aesthetic’ tetapi ianya harus menciptakan suasana yang sejahtera kepada kita.
Dari dapur hingga ke bilik tidur, setiap ruang di rumah kita sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi suatu kawasan yang kemas dan bersih. Ianya hanya memerlukan disiplin dan konsisten.
Mari kita ikuti tips-tips yang boleh dipraktikkan dalam menjaga keselesaan rumah sepanjang waktu.
- Buat senarai tugasan rumah.
Anda sebaik-baiknya membuat senarai tugasan sebelum bermula mengemas. Pilihlah mana satu tugasan yang perlu diutamakan dan disiapkan dahulu. Senarai ini juga dapat membantu anda dari segi pembahagian tugas dengan ahli keluarga ataupun rakan serumah dimana setiap orang akan memberi kerjasama dalam mengemas rumah. Selain itu, ia juga dapat membantu untuk mengingatkan anda akan tugasan yang mungkin anda telah terlupa ataupun terlepas pandang.
- Membuat Stor Simpanan
Dengan adanya stor simpanan, anda boleh mengurangkan barang-barang yang berterabur ataupun bersepah di ruang rumah anda. Asingkan jenis-jenis barang yang anda ada: mulakan dengan menyimpan barang-barang yang jarang digunakan. Ianya juga boleh mengelakkan daripada barang-barang anda rosak dan rumah anda kelihatan terurus dan cantik.
- Asingkan barang-barang mengikuti kategori.
Cara ini akan membuatkan anda lebih peka dan mudah untuk mencari barang-barang anda. Anda dapat mengurangkan rasa keliru dan tidak perlu tercari-cari barang yang dikehendaki atau diperlukan di setiap inci rumah. Ini kerana anda sudah tahu kategori barang tersebut dan terus sahaja mencarinya di tempat yang telah anda tetapkan.
- Cari Masa untuk Mengemas
Walaupun anda sibuk seharian suntuk dengan kerja, tetapi cuba untuk mencuri sedikit masa untuk mengemaskan rumah anda. Tidak perlu buat semua jika tidak larat, cukup dengan hanya menyiapkan satu tugasan sahaja untuk mengekalkan kekemasan rumah. Rumah yang kemas dapat membantu anda dari segi kesenangan mental. Ataupun anda boleh tetapkan masa selama 30 minit setiap hari untuk menyusun dan mengemas barang anda sedikit demi sedikit bagi mengelakkan rumah berada dalam keadaan yang tidak tersusun dan terurus.
- Gunakan Zon Tertentu Dalam Rumah
Tahukah anda bahawa dengan mewujudkan zon-zon tertentu dalam rumah dapat memudahkan rutin harian anda. Bukan itu sahaja, tetapi zon-zon khusus di dalam rumah anda bukan sahaja dapat membantu dari segi kekemasan tetapi dapat juga membantu dari segi nilai ‘aesthetic’ yang mungkin anda mahu pamerkan di rumah anda.
Mengemas rumah adalah seperti mengemas fikiran dan jiwa anda. Ia adalah suatu rutin harian yang dapat memberikan ‘positive energy’ dengan menciptakan keharmonian di dalam ruang rumah. Ketika anda sibuk membersihkan, menyusun, dan mengemas rumah anda, anda bukan sahaja mewujudkan suasana yang cantik, tetapi sedikit sebanyak anda juga membantu diri anda untuk berasa lebih tenang.