
Tips Kewangan Untuk Gen Z
Tidak dinafikan bahawa anda pasti akan berasa seronok dan teruja apabila mendapat gaji hasil titik peluh sendiri. Pasti sudah ada yang terfikir untuk ‘upgrade’ kehidupan, dan membeli barang-barang yang didambakan selama ini.
Pengurusan yang bijak adalah amat penting kerana ianya tidak hanya membantu untuk menstabilkan kewangan, malahan ianya juga dapat membantu mencapai target dan tujuan hidup.
Penyusunan strategi yang efektif untuk pengurusan wang adalah merupakan salah satu langkah yang penting untuk penyimpanan jangka masa yang panjang.
Ini ada 4 tips kewangan yang boleh anda ikuti.
- Simpanan Kecemasan
Simpanan kecemasan adalah sesuatu yang amat penting dalam pengurusan wang. Tetapkan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji anda untuk simpanan ini. Ianya sangat membantu sekiranya anda mengalami sebarang kecemasan ataupun menghadapi situasi yang mendesak dan memerlukan wang.
- Penggunaan Kad Kredit
Penggunaan kad kredit terdapat kebaikan dan keburukannya. Jika anda mempunyai disiplin yang tinggi dan sentiasa merancang pembelanjaan anda, maka ianya tiada masalah. Tetapi ramai juga yang terjebak di dalam hutang kerana tidak mampu membayar komitmen akibat pembelanjaan diluar kemampuan. Jadi rancanglah penggunaan kad kredit anda dengan sebaik-baiknya.
- Rancang Perbelanjaan
Tanggungjawab dan komitmen bulanan harus didahulukan, seperti bill rumah, bill telefon, ataupun kos keperluan asa. Ada juga yang sudah mempunyai komitmen untuk membayar bil kereta bulanan, jadi pastikan anda merancang perbelanjaan anda dengan bijak. Utamakan mana yang lebih penting untuk dibayar. Kenal pasti yang manakah keperluan dan yang manakah keinginan. Dan tiada salahnya jika jika anda menunggu diskaun ataupun ‘sale’ untuk membeli sesuatu.
- ‘FOMO’
FOMO ataupun ‘Fear of Missing Out’ seringkali menjadi salah satu faktor pemborosan dan perbelanjaan yang berlebihan oleh seseorang. Keinginan untuk ‘fit in’ bersama rakan-rakan ataupun mempunyai sesuatu hanya sekadar ‘trend’ adalah amat bahaya. Sebelum anda membeli sesuatu barangan atau produk, pastikan anda mempunyai wang simpanan yang secukupnya untuk menjalani kehidupan harian. Ingat ya, ‘trend’ akan berlalu pergi, tetapi hutang yang ada akan tetap menghantui anda. Boleh sahaja jika anda mahu mengikut ‘trend’ tetapi berhati-hatilah jangan sehingga ianya menjadi beban kerana mahu ‘keep appearances’.
Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, pengurusan kewangan dengan bijak adalah salah satu kunci ketenangan fikiran dan kestabilan kewangan. Ianya boleh dilakukan jika anda bijak dalam memastikan keutamaan anda. Disiplin kewangan tidak boleh diabaikan dan haruslah berpijak di dunia yang nyata. Ukur baju di badan sendiri. Jika tidak mampu, janganlah berhutang. Lebih-lebih lagi jika tidak mampu untuk memberikan komitment yang tetap. Cara yang terbaik adalah dengan mengawal perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan anda.
Anda harus ingat, kestabilan kewangan bukanlah untuk jangka masa yang pendek, tetapi adalah untuk membantu anda dari segi jangka masa yang lama apabila anda sudah berada di hari tua.