Terpedaya Pakej Haji Murah, 300 Jemaah Terkandas di Makkah
Impian untuk menunaikan ibadah haji adalah satu pengalaman suci yang diimpikan oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia. Namun, realiti yang cukup pahit untuk diterima apabila perasaan gembira dan teruja bertukar sedih dan marah apabila terperangkap dengan tipu daya pakej haji murah yang menipu di Makkah.
Inilah perkara yang terjadi baru-baru ini di Makkah apabila 300 jemaah haji terkandas di tanah suci dan tidak mendapat kebenaran untuk mengerjakan haji pada musim ini akibat tertipu dengan pakej murah yang mereka percayai.
Menurut laporan di Harian Metro, difahamkan bahawa mangsa-mangsa menyedari diri mereka diperdaya oleh agensi terbabit setelah mendapati pakej haji yang dibeli murah selain visa yang digunakan adalah visa pelancong.
Janji Palsu
Selain daripada menawarkan pakej dengan harga murah dan berpatutan, agensi terbabit turut menabur janji palsu dengan menjanjikan untuk memberi gelang haji. Namun, mereka gagal berbuat demikian sehingga ke hari ini. Mereka turut mengarahkan bakal haji agar tidak keluar dari hotel bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.
Menurut sumber, pihak agensi telah mengenakan bayaran sebanyak RM45,000 bagi setiap individu dan menyedari seolah-olah ditipu selepas diberikan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Agensi terbabit juga dikatakan berurusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menguruskan visa haji bagi jemaah yang berdaftar melalui agensi pengendali yang mungkin tidak dilesenkan secara sah oleh Tabung Haji.
Segera Membuat laporan
Semua mangsa yang terbabit telah diminta untuk membuat aduan dengan kadar segera ke Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dengan kadar segera. .
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, TH akan bekerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berdasarkan maklumat terperinci daripada para jemaah haji yang terkandas akibat terperdaya dengan tawaran pakej haji.
Para jemaah umrah yang masih lagi berada di Tanah Suci juga diminta akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup sepenuhnya pada 15 Mei 2024 bagi persediaan musim haji.
Kami di OH Yaa Media mendoakan kita semua dijauhi daripada tipu daya dan dianiaya. Sama-sama kita doakan mangsa-mangsa yang terlibat diberikan ketabahan, kekuatan dan digantikan dengan rezeki yang lebih baik. Amin…
Sumber: Harian Metro