Bila Raya Berat Badan Naik? OH TIDAK! Tips Elakkan Berat Badan Naik Di Hari Raya
Dah jadi kebiasaan orang kita, ketika Ramadan semua berpusu-pusu pasang niat berdiet untuk kuruskan badan demi tampil cantik di hari raya. Tapi takkanlah bila raya terus berat badan naik?
Tetapi setelah sebulan berpuasa, semasa hari raya inilah nak balas dendam untuk menjamah segala juadah hari raya seperti rendang, lemang, nasi impit, soto dan pelbagai jenis aneka kuih raya. Mesti ramai yang dalam keadaan dilema kan?
Tapi Kenapa Berat Badan Naik Selepas Raya?
Sememangnya sukar untuk menahan nafsu ketika di hari raya, lagi-lagi setelah 2 tahun lamanya kita tidak dapat beraya bersama sanak saudara dan juga ibu bapa. Inilah masanya untuk kunjung mengunjung dan mengeratkan silaturrahim yang sudah lama pudar disebabkan keadaan PKP yang tidak mengizinkan. Dengan pelbagai juadah raya yang terhidang dan makan bersama sanak saudara pasti membuat kita terleka sehingga terlupa dengan kandungan gula, kalori dan lemak di dalam juadah raya tersebut. Itu belum lagi ramai yang terlupa untuk bersenam disebabkan ramai yang mengambil cuti yang panjang di hari raya ini.
Bagaimana Nak Elakkan Berat Badan Naik?
Mengikut perkongsian Coach Anuar (Jurulatih Kecergasan Profesional, terdapat beberapa tips bagi mengelakkan berat badan naik ketika hari raya yang perlu anda patuhi!
1- Ingat Peraturan 20 Minit
Itulah masa yang diperlukan untuk berasa kenyang setelah suapan pertama. Ketika ini, makanlah secara perlahan-lahan atau tetapkan saiz hidangan makanan supaya tidak makan berlebihan. Sentiasalah mengamalkan teknik makan sikit-sikit, berhenti seketika, makan sikit lagi dan ulang. Hal ini, bagi mendidik kita untuk cepat kenyang dan tidak makan secara berlebihan.
2- Wajib Sarapan Dengan Makanan Yang Sihat Dan Seimbang
Sebelum melangkah ke masjid bagi menunaikan solat sunat hari raya, anda wajib untuk bersarapan dahulu dengan makanan yang penuh nutrisi dan seimbang. Lagipun, ia adalah amalan sunat ketika di hari raya. Dapatlah kita kumpul pahala di hari raya malah dapat membantu kita mengawal nafsu dan jumlah pengambilan kalori.
3- Jangan Bermula Dengan Manisan!
Antara pantang paling penting yang anda perlu ambil berat ialah, jangan mulakan makan dengan manis-manisan atau ‘desert’. Elakkan juga ambil makanan proses yang kurang bernutrisi. Dengan kaedah ini membantu memastikan adanya khasiat yang baik sebelum memakan kalori yang kurang baik. Ingat, keserderhanaan itu penting!
4- Kenal Pasti Kalori Menu ‘Favourite’ Hari Raya Anda!
Mungkin ini adalah masa yang tepat untuk anda mengenal kalori permakanan seharian anda termasuk hidangan di hari raya. Kenapa? Kalau tidak, memang susah untuk mengawal jumlah pengambilan kalori.Baru lah makan tu ada rasa ‘sedar diri’. Betul tak?
Bayangkan,
1x biskut raya mengandungi 40 kalori, kalau makan 10 dah 400kcal. Itu baru satu rumah.
Kalau 50 rumah berbuka sepanjang hari raya ini, itu dah 20,000kcal atau 2.6kg! Oh Tidak!
5- Konsep 10:20 hari
Hal ini berbalik kepada konsep ‘reward’ diri di hari raya. Boleh pilih 10 hari raya pertama sahaja ganjarkan diri dengan hidangan raya beraneka ini. Hari selebihnya, boleh pentingkan permakanan yang sihat dan bernutrisi.
Selain itu, pengawalan stress, dan amalan mengambil air kosong ketika beraya juga turut membantu bagi mengawal berat badan ketika di hari raya. Janganlah, asyik nak ‘cheat day’ sahaja nanti bukan sahaja bentuk tubuh badan ‘hilang’ malah kesihatan diri juga dalam keadaan merbahaya. Sentiasalah beringat ketika beraya bukan sahaja dalam permakanan malah kesihatan juga. Lagi-lagi sekarang kes covid masih lagi menular, oleh itu jaga diri semua!
Selamat Menyambut Hari Raya Aildilfitri!!
Sumber : Coach Anuar