
Tragedi Kepala Air: Kenali Tanda-Tandanya untuk Berjaga-Jaga
Satu tragedi kepala air yang berlaku di Kemaman, Terengganu benar-benar telah menggemparkan seluruh negara apabila ramai mangsa terkorban dalam insiden tersebut.
Menurut laporan akhbar Berita Harian, antara punca yang telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air adalah disebabkan gabungan arus daripada dua sungai serta keadaan topografi menjadi punca pembentukan aliran air yang sangat deras dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman di Terengganu.
Kejadian itu dikatakan turut didorong faktor hujan luar biasa di kawasan jeram atau tadahan air yang terletak di hulu sungai, menyebabkan kemungkinan berlaku limpahan air beserta pelbagai serpihan ke sungai berhampiran.
Jika hujung minggu ini atau pada masa akan datang anda dan keluarga merancang untuk berkelah di kawasan sungai, ambil langkah berjaga-jaga dengan ketahui tanda-tanda kepala air untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
1. Tengok Keadaan Langit Di Hulu Sungai
Keadaan langit gelap di bahagian hulu sungai (kawasan puncak bukit) disertai dengan bunyi guruh yang kuat.
2. Bunyi Dentuman Gerakan Batu Dari Hulu Sungai
Bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai. Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba (kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air).
3. Bunyi Siren Amaran
Siren amaran berbunyi (di sesetengah tempat sahaja, seperti di kawasan Air Terjun Sekayu dan Kota Tinggi).
4. Perubahan Arus Sungai
Anda perlu perhatikan jika terdapat perubahan arus sungai dan keadaan air sungai sekiranya terdapat tanda-tanda gelap di kawasan hulu.
5. Air bertukar keruh, berbuih-buih dan terdapat daun kering dan ranting kayu
Perhatikan sekeliling anda. Jika tiba-tiba air bertukar keruh, berbuih-buih dan terdapat daun kering dan ranting kayu yang dibawa arus sungai, sebaiknya anda terus keluar dari air dan jauhkan diri dari kawasan tersebut untuk seketika.
Sentiasa beringat untuk jaga keselamatan diri dan keluarga anda ketika beriadah. Moga bermanfaat untuk anda semua!