5 Waktu untuk Membayar Zakat Fitrah
Bila waktu afdhal nak bayar zakat fitrah ni ? haa persoalan ni yang selalu berlegar-legar di minda kita setiap kali bulan Ramadan…
Pejam celik pejam celik, beberapa hari saja lagi kita akan menyambut hari raya.
Dalam kita sibuk berpuasa dan seronok nak menyambut raya ni, jangan dilupa kewajian kita untuk tunaikan Zakat Fitrah.
Sebagai umat Islam, Zakat Fitrah merupakan perkara yang wajib dibayar oleh umat Islam yang berkemampuan dan mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan.
Buat pengetahuan anda, terdapat lima waktu bayar zakat fitrah dan jangan sesekali menunaikan tanggungjawab itu ketika waktu haram.
Setiap lima waktu tersebut mempunyai hukum tersendiri dan anda perlu ambil berat agar tidak terlepas waktu yang sepatutnya.
Jom ikuti penjelasan lebih lanjut di bawah!
Waktu untuk Membayar Zakat Fitrah
1. Waktu harus
Di dalam mazhab Syafie, umat Islam boleh membayar zakat fitrah bermula 1 Ramadan sehingga berakhirnya bulan puasa.
2. Waktu wajib
Waktu wajib untuk umat Islam membayar zakat fitrah adalah pada akhir Ramadan ketika waktu senja atau terbenamnya matahari.
Sheikh ‘Abdullah Bafadhal dalam karyanya:
وَتجب زَكَاة الْفطر بِشُرُوط إِدْرَاك غرُوب الشَّمْس لَيْلَة الْعِيد
Maksudnya: “Zakat fitrah diwajibkan dengan syarat melalui tenggelam matahari pada malam hari raya.”
3. Waktu Afdal
Pagi raya sebelum menunaikan solat raya adalah waktu afdal untuk membayar zakat. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri mengeluarkan zakat sebelum baginda mengerjakan solat sunat aidilfitri seperti mana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.A:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk mengerjakan solat (hari raya).”
4. Waktu makruh
Waktu makruh bagi umat Islam untuk membayar zakat adalah ketika selesai solat sunat hari raya. Menurut Ibn Hajar al-Haitami bahawa sunat hukum mengeluarkan zakat sebelum solat sunat hari raya, maka sunat juga tidak melewatkan bayaran zakat selepas daripada solat berkenaan kerana jika dilewatkan hukumnya makruh.
5. Waktu haram
Waktu haram bagi membayar zakat fitrah adalah selepas terbenamnya matahari ketika satu Syawal atau setelah tamatnya hari pertama Syawal.
(وَيَحْرُمُ تَأْخِيرُهَا عَنْ يَوْمِ الْعِيدِ) بِلَا عُذْرٍ كَغَيْبَةِ مَالِهِ أَوْ الْمُسْتَحِقِّينَ لِأَنَّ الْقَصْدَ إغْنَاؤُهُمْ عَنْ الطَّلَبِ فِيهِ (وَتَقْتَضِي وُجُوبًا فَوْرًا)
Maksudnya: “Haram melewatkan zakat selepas hari raya (aidilfitri) tanpa sebarang keuzuran seperti kehilangan hartanya atau hilang penerima zakat kerana zakat bertujuan untuk memenuhi tuntutan mereka. Wajib bagi orang yang melewatkan zakat itu menggantikannya serta-merta.”
Jadi, pastikan anda bayar zakat fitrah pada masa yang bersesuaian seperti di atas ya😉.
Jangan tangguh-tangguh dan jangan lupa bayar tau.
Semoga bermanfaat!