5 Makanan Tinggi Kolesterol di Hari Lebaran
Raya~raya~raya… Selamat Hari Raya…~
Wah… seronok semua ya. Walaupun dah lebih seminggu beraya, tapi semangat tu maintain.
Bercakap tentang raya, mesti tak lari daripada meriahnya pelbagai juadah yang terhidang ketika kita berkunjung ke rumah sanak-saudara atau open house rakan terdekat.
Bila tengok semua makanan terhidang, rasa macam nak ambil semua je.
Aippp… bukan semua makanan kita boleh bantai. Sesetengah makanan yang terhidang mempunyai kolesterol tinggi yang harus dielakkan.
Paras kolesterol yang berlebihan dalam badan sudah tentu boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan. Bermula dari penyakit jantung dan saluran darah, hipertensi, strok, sehinggalah kegagalan buah pinggang.
Jom sama-sama kita ketahui !
5 Makanan Tinggi Kolesterol di Hari Lebaran
1. Rendang
30 hari beraya pun, rendang tetap menjadi menu wajib di bulan syawal ni. Tapi… jaga-jaga! Rendang merupakan salah satu makanan yang tinggi kolesterol.
Tak dinafikan, rasanya yang lazat, memang boleh buat kita menambah berpinggan-pinggan. Tapi, nak makan tu kena berpada-pada.
Ini kerana rendang umumnya diperbuat menggunakan santan atau minyak kelapa yang mengandungi lemak tepu yang tinggi yang boleh menyumbang sejumlah besar kalori.
2. Makanan bergoreng
Selain itu, salah satu makanan tinggi kolesterol yang digemari ramai ialah pelbagai makanan bergoreng. Bukan kanak-kanak je yang suka, orang dewasa pun pakat ‘sebat’ sampai licin.
Makanan bergoreng seperti pisang goreng, keropok lekor, popia simpul dan macam-macam lagi sering dihidang sebagai kudap-kudapan di hari raya.
Malangnya, makanan bergoreng mengandungi tahap lemak tepu yang tinggi sehingga boleh meningkatkan tahap kolesterol LDL (kolesterol jahat) dalam darah.
3. Makanan Manis
Seterusnya, makanan manis yang tinggi lemak tepu, seperti kek krim, tart dan pelbagai jenis pastri tertentu, boleh meningkatkan tahap kolesterol LDL (kolesterol jahat) dalam darah.
Lemak tepu yang menyumbang kepada peningkatan kolesterol biasanya terdapat dalam produk tenusu, mentega dan minyak sawit.
4. Organ dalaman haiwan
Satu lagi makanan berkolesterol tinggi yang harus dielakkan ialah pelbagai organ dalaman haiwan. Contohnya, usus, hati, hempedu, limpa, jantung, paru-paru, malah otak ayam atau lembu.
Alamak… mesti penggemar organ dalaman haiwan dah mula risau ni😅
Kebiasaannya, organ dalaman haiwan ini diproses menjadi sos cili yang dimakan bersama makanan sampingan.
Organ dalaman haiwan juga kerap dijadikan sebagai lauk yang dimakan bersama nasi atau hidangan lain seperti ketupat, lemang dan sebagainya.
Kenapa pula ia mempunyai kolesterol yang tinggi? Ia biasanya mengandungi kolesterol tinggi sehingga boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan.
5. Makanan Segera
Disamping itu, sebulan dah kita puasa, masuk bulan syawal ni tekak pun dah mula rindu nak makan makanan segera.
Bila dah musim perayaan ni, tetamu pun datang tak diduga. Kita pun, masak je apa yang ada dalam peti ais seperti nugget, kentang goreng, piza, hot dog dan lain-lain.
Walaupun ia praktikal, anda harus berhati-hati kerana makanan segera ini mengandungi kolesterol tinggi akibat penggunaan minyak dan lemak tepu dalam proses pemprosesan.
Jadi, anda harus mengelak daripada mengambil makanan segera jika anda tidak mahu mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Di bulan syawal yang mulia ni, jangan lupa untuk kawal pengambilan makanan berkalori untuk kesihatan diri yang optimum. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.
Selamat Hari Raya!😃