Awas dengan Kemunculan Madu Tiruan! Semak Ketulenannya
Baru-baru ini, viral di dada akhbar bahawa tiga sekeluarga mendakwa bahawa mereka mengalami keracunan selepas memakan madu sejuk beku yang dibeli secara atas talian. Disebabkan hal itu juga, mereka telah ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Perkara seperti ini memang sangat membimbangkan kerana pelbagai produk atau makanan yang dijual secara fizikal dan atas talian sering dipalsukan. Ini sangat berbahaya kerana ia boleh mengancam nyawa kita.
Oleh itu, sebelum membuat sebarang pembelian, pastikan anda semak kandungan bahan yang digunakan serta pastikan produk tersebut mendapat pensijilan autentik atau pensijilan dan pengiktirafan yang disahkan oleh badan-badan yang sewajarnya.
PENSIJILAN AUTENTIK
Seperti madu dan sarang burung walit, anda boleh periksa ketulenan dengan memastikan terdapat logo Autentik yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada bungkusan produk berkenaan.
Pensijilan Autentik merupakan pensijilan yang diberikan ke atas produk yang disahkan tulen seperti madu, kopi, sarang burung walit dan daging.
Makanan Autentik adalah makanan yang tidak bercampur dengan apa-apa bahan tambah selain daripada bahan tambah yang diperlukan dalam pemprosesan tersebut mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Ingat, semak dahulu baru beli! 🙂